12 Disember 2024, 13:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan Ensiklopedia Sastera Melayu pada tahun 2024. Oleh itu, apakah beza buku dan ensiklopedia? Ikuti tulisan Nor Muhamad dalam membincangkan perkara ini. 

Ensiklopedia merupakan himpunan ilmu yang terancang mengikut bidang-bidang tertentu dengan keterangan atau entrinya yang ringkas, padat dan autentik. Himpunan ilmu ini juga disusun entrinya berdasarkan abjad (a-z) atau penyusunan dan pengelasan secara tematik, mengikut tema terpilih.

Berdasarkan pandangan Ibrahim Haji Ahmad melalui kajiannya dalam Jurnal Pengajian Melayu Jilid 21 (2010:62), ensiklopedia ialah koleksi maklumat atau himpunan fakta tentang setiap cabang ilmu pengetahuan yang disusun mengikut abjad atau mengikut kategori secara singkat dan padat.

Ensiklopedia juga dianggap sebagai sejumlah tulisan yang berisi penjelasan yang menyimpan maklumat komprehensif dan mudah difahami serta dimengerti tentang seluruh cabang ilmu pengetahuan. Selain itu, ada juga ensiklopedia yang disusun secara umum atau khusus dalam satu cabang ilmu tertentu. 

Perbezaan Ensiklopedia dan Buku

Secara fizikal, ensiklopedia ialah sebuah buku, manakala buku juga merupakan ensiklopedia. Namun, sesebuah buku tidak dapat kita katakan sebagai ensiklopedia. Oleh itu, terdapat persamaan dan perbezaan antara ensiklopedia dengan buku yang kita dikenali secara umum.

Berdasarkan aspek teknikal, penerbitan kedua-dua bahan ini terdapat persamaannya, begitulah dari segi fungsinya, iaitu memberikan ilmu dan maklumat kepada pembaca, pengkaji, penyelidik dan masyarakat secara umum.

Perbezaan ketara untuk kedua-duanya adalah dari aspek penyusunan, tempoh masa penerbitan dan pengumpulan entri atau hasil tulisan kajian, serta konsep dalaman dan persembahan penerbitannya termasuklah berjilid atau tidak berjilid, khusus atau umum.

Contohnya, Ensiklopedia Dunia mempunyai 23 jilid dan kandungan entrinya berjumlah 14,000. Begitulah Ensiklopedia Sains dan Teknologi yang diterbitkan dalam 12 jilid termasuk jilid indeks, serta Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (DBP, 1999) yang mempunyai lima jilid, dengan fokus entrinya tentang tamadun Melayu dari aspek sejarah, kebudayaan, bahasa, sastera, dan persuratan.

Menghasilkan sesebuah ensiklopedia bukanlah proses yang mengambil masa yang singkat kerana segala proses awalnya memerlukan perancangan berkaitan bidang yang ingin diterokai seperti kajian kepustakaan sebagai rujukan, dan kajian lapangan untuk dapatan awal dan kesatuan idea dalam menentukan konsep yang mahu diterapkan dalam sesebuah ensiklopedia.

Proses seterusnya, dimulai dengan pemetaan bidang atau entri melalui hasil perbengkelan bersama-sama pakar bidang (seseorang yang mahir dan diperakui kepakaran bidang ilmu), dan diperhalusi juga tentang pemilihan penulis yang bersesuaian.

Untuk satu-satu entri, diperhalusi dan menjadi penilaian secara bersama oleh pakar yang dilantik, sebelum diabsahkan tepat dari aspek fakta, sumber dan substantifnya, serta menepati format dan gaya penulisan ensiklopedia.

Kadangkala, menentukan judul juga perlu diperhalusi terlebih awal agar menepati keseluruhan objektif ensiklopedia yang ingin dihasilkan. Begitulah, kandungan dan entri yang ingin dimasukkan ke dalam ensiklopedia agar selari dengan maksud sebenar judul, kerana kulit hadapanlah yang mencerminkan isi keseluruhan ilmu yang ingin diperkatakan. 

Ensiklopedia Sastera Melayu

Ensiklopedia Sastera Melayu, merupakan sebuah ensiklopedia sastera yang khusus membicarakan tentang dunia sastera Melayu, dan  ensiklopedia sastera Melayu pertama yang diterbitkan di Malaysia. Naskhah ini diterbitkan pada tahun 2024 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan seramai 62 orang sarjana, pengkaji dan penulis yang menyumbangkan entri kajian.

Antara barisan pakar dan penulis termasuklah SN Muhammad Haji Salleh, Dr. Harun Mat Piah, Dr. Siti Hawa Salleh, Dr. Noriah Taslim, Dr. Saiful Bahri Md. Radzi, Dr. Low Kok On, Dr. Mohd. Rosli Saludin, Dr. Siti Hajar Che Man, Dr. Jelani Harun, Dr. Liaw Yock Fang dan lain-lain.

Penyusunan Ensiklopedia Sastera Melayu adalah secara tematik, yang disusun berdasarkan tema-tema tertentu mengikut bidang ilmu, dan merupakan penerbitan ensiklopedia khusus bukannya ensiklopedia umum yang wujudnya pelbagai jilid.

Keseluruhannya mengandungi 167 entri yang meliputi bidang sastera tradisional sebagai wacana awal yang dibincangkan, dikuti sastera moden, perkembangan sastera tanah air (persatuan penulis, terjemahan karya, institusi yang menguruskan sastera), dan perkembangan sastera dalam masyarakat cina dan India, pengarang daripada pelbagai disiplin, sumbangan sarjana antarabangsa, perkembangan terjemahan karya sastera dalam bahasa Inggeris, Eropah dan Asia, serta sastera Melayu dalam jurnal antarabangsa.

Seperti yang disebutkan sebelum ini, sebarang judul yang menjadi pilihan harus selari dengan isi kandungan dalam naskhah tersebut. Takrifan “Melayu” melalui judul Ensiklopedia Sastera Melayu meletakkan dua perkara utama sebagai fokus penyediaan dan tulisan entri. Pertama, Melayu etnik, dan kedua ialah Melayu daerah atau Alam Melayu.

Sejarah awal sastera diperkenalkan secara tuntas, dengan maklumat awal tentang daerah sastera Melayu yang meliputi Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia, selatan Thailand, selatan Filipina, Campa, Sri Langka dan Kemboja.

Sastera lisan dan tulisan dijadikan tumpuan, iaitu dikatakan muncul pada abad ke-7, hinggalah permulaan zaman moden pada abad ke-19 dengan penggunaan alat percetakan yang membolehkan sastera itu dapat disebar secara meluas berbanding sastera lisan yang hanya dituturkan dan terbatas penyebarannya kepada khalayak.

Perubahan ini telah mengubah corak dan konsep sastera, yang dahulunya tertumpu pada kelompok tertentu dan dapat didengar (cerita, kisah, isi sastera) secara beramai-ramai, namun kini dibaca, dihayati dan di taakul oleh diri sendiri atau secara bersendirian (bacaan melalui buku, majalah dan bahan bercetak).

Menariknya, melalui entri “Sastera dan Kerajaan Melayu” disebutkan tentang zaman kegemilangan kerajaan Melayu bermula pada zaman Sriwijaya dari abab ke-7 hingga abab ke-12, diikuti dengan kerajaan Melayu Singapura pada abad ke-12 hingga abad ke-14, kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15 hingga abad ke-6, dan seterusnya kerajaan Melayu Johor, kerajaan Melayu Aceh, kerajaan Palembang, kerajaan Melayu Kelantan dan Patani, dan kerajaan Johor-Riau pada abad ke-18 hingga abad ke-19.

Keberadaan zaman tersebut telah diwakili para ilmuwan dan golongan intelektual yang dibuktikan dengan penghasilan karya dan tulisan yang menjadi panduan dan rujukan masyarakat. Umpamanya Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumatrani, dan Nuruddin al-Raniri yang menguasai pelbagai cabang ilmu termasuklah perihal agama (fikah, usuluddin, tasawuf), sastera, falsafah, dan kosmologi.

Rumusan

Keseluruhan fokus entri kajian memenuhi konsep sesebuah ensiklopedia, namun begitu terdapat penemuan yang bukannya dianggap sebagai satu kelemahan tetapi sebagai penambahbaikan pada masa akan datang. Diharap DBP dan penerbit di luar sana memperbanyakkan ensiklopedia di pasaran. Ensiklopedia merupakan bahan rujukan tentang segala cabang pengetahuan yang tuntas.

_________________________

Nor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan fauna. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo.  Kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.