29 Disember 2024, 11:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Program Lawatan Syurga Kecilku Perlis yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menghimpunkan 40 orang alumni yang juga merupakan peserta Program Gala 50 Tahun UiTM Cawangan Perlis Sempena Sambutan Jubli Emas.

Lokasi lawatan yang menjadi tumpuan termasuklah Warung Tepi Sawah, Kampung Warna Warni, sekitar Kuala Perlis, Padang Besar Street, Bandar Kangar, Gua Kelam, Tasik Timah Tasoh dan Academic Height, UiTM Cawangan Perlis.

Menurut Encik Ahmad Muaz Mahzair, iaitu Pengarah Program yang juga selakuĀ  Penolong Pendaftar di Bahagian Hal Ehwal Pelajar, pemilihan lokasi program ini menjadi tarikan kepada para peserta yang datang dari luar negeri Perlis untuk datang ke negeri ini di samping mempromosikan Tahun Melawat Negeri Perlis 2024-2025 mengikut saranan kerajaan negeri Perlis.

Encik Ahmad Muaz Mahzair menyampaikan taklimat kepada para peserta program.

Beliau juga berkata, para peserta dapat mengimbau semula nostalgia terutamanya pengalaman semasa belajarĀ  kampus ini.

Lawatan ini bukan sahaja memberikan peluang kepada para peserta untuk menghayati keindahan dan kekayaan budaya negeri ini, tetapi juga membawa kenangan manis serta menyemarakkan semangat kekeluargaan dan kebersamaan dalam kalangan warga UiTM.

Pada masa yang sama, para peserta juga dapat melihat perubahan baharu di negeri ini melalui hasil pembangunan mapan kerajaan negeri Perlis bersempena dengan Tahun Melawat Negeri Perlis Tahun 2024-2025.

Tambah beliau, lawatan ini juga memberikan maklumat kepada para peserta tentang pelbagai program pembangunan komuniti di kampung sekitar negeri Perlis yang menerima manfaat melalui keterlibatan warga UiTM dan alumni dalam usaha meningkatkan pendapatan dan menyokong program-program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

Saya melihat program ini dapat memberikan satu input yang berguna tentang kerjasama warga UiTM Cawangan Perlis seperti pembangunan Kampung Warna-Warni, Kuala Perlis yang kini menjadi satu daripada produk pelancongan negeri Perlis yang popular.

Para peserta bersarapan pagi di Warung Tepi Sawah yang di kelilingi panorama bendang.
Para peserta menikmati persekitaran Kampung Warna-Warni, Kuala Perlis dengan menaiki “Choley” atau motosikal beroda tiga.
Para peserta bertandang ke Padang Besar Street yang menawarkan pelbagai produk, makanan, minuman dari sempadan negeri.

 

Para peserta bergambar di Academic Height, UiTM Cawangan Perlis.

Sebelum mengakhiri program pada pukul 5.00 petang, para peserta dibawa melawat persekitaran kawasan UiTM Cawangan Perlis.

Yang turut serta dalam program ini termasuklah Koordinator Perundingan, Inovasi dan Kepakaran, YBrs. Dr Ang Lee Sin dan Pegawai Sains, Encik Muhammad Hanis Ghazali.

Kredit Foto: Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Perlis.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.