Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPernahkah anda melihat kain dengan corak emas yang berkilauan? Itulah keindahan seni telepuk, iaitu seni hiasan tekstil tradisional Melayu yang penuh dengan sejarah, kemewahan, dan ketelitian.
Seni ini bukan sahaja mencerminkan kreativiti nenek moyang pada zaman dahulu, namun juga menjadi lambang warisan yang perlu terus hidup dalam dunia moden ini.
Seni telepuk merupakan seni hiasan tradisional Melayu yang melibatkan penggunaan perada emas. Kegunaannya untuk menghiasi kain, terutamanya dalam konteks pakaian diraja atau upacara istana.
Pada asasnya telepuk ini terhasil melibatkan proses menekap motif menggunakan cop ukiran kayu yang bergam ke atas kain tenun benang halus, yang kemudiannya dilekapkan dengan kertas emas atau perada.

Seni ini berkembang pesat pada zaman Kesultanan Melayu yang mana perada emas digunakan untuk menghiasi baju, selendang dan kelengkapan istana. Perkara tersebut sebagai simbol kemewahan dan kekuasaan raja.
Corak yang dihasilkan sering kali melibatkan motif bunga, daun dan bentuk geometri yang halus, mencerminkan keindahan serta status sosial yang tinggi. Telepuk lazimnya digunakan untuk menghias kain sarung yang dipakai sebagai kain dagang luar untuk wanita, manakala bagi lelaki digunakan pada kain persegi yang dijadikan samping, tengkolok atau tanjak, terutamanya dalam majlis adat istiadat perkahwinan.
Apabila digayakan dengan sempurna, kain telepuk menonjolkan keindahan tersendiri dengan kilauan perada emas yang memancarkan keunikan pada fabrik dan penampilan pemakainya.
Seni ini memerlukan ketelitian dan kehalusan yang tinggi, menjadikannya satu daripada warisan seni yang amat bernilai. Setiap helaian kain yang dihiasi perada emas mencerminkan kemahiran penggiat telepuk yang luar biasa.

Namun, peredaran zaman telah menyebabkan seni telepuk semakin dilupakan dan hanya segelintir individu yang masih melestarikannya. Usaha pemuliharaan dan pendidikan generasi muda perlu terus diperkasakan agar seni ini tidak lenyap ditelan zaman, sebaliknya terus dikenali dan dihargai sebagai sebahagian daripada identiti budaya Melayu.
Untuk menjaga estetika kain telepuk, proses mencucikannya memerlukan teknik yang khusus. Teknik tersebut dikenali dengan nama wukok, iaitu kaedah mencuci kain telepuk. Kain telepuk terkenal dengan motif emas yang menghiasi permukaannya. Namun, kain ini tidak boleh dicuci dengan air kerana boleh merosakkan motif tersebut. Oleh itu, teknik wukok digunakan untuk mencuci kain tanpa menggunakan air.
Wukok yang bermaksud “perasap kain” dalam bahasa Kelantan merupakan teknik yang berfungsi untuk menghilangkan bau kurang enak pada pakaian. Tiga bahan utama yang digunakan dalam proses ini adalah air mawar, iaitu memberikan aroma yang menyegarkan. Kayu halba pula untuk menambah kesan wangi dan arang digunakan sebagai bahan bakar untuk menghasilkan asap.
Proses perasapan ini dimulakan dengan memasukkan bahan-bahan tersebut ke dalam bekas perasap tembaga dan dinyalakan menggunakan mancis. Kemudian pakaian telepuk digantung di atas bekas perasap dan asap yang dihasilkan akan menyelimuti kain, membersihkan dan memberikan aroma segar serta wangi.

Pada masa yang sama, seni telepuk ini turut mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang berkenan berangkat kemudian melancarkan buku Telepuk, Bunga-bunga Emas Yang Dilupai di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 15 Januari 2025 yang lalu.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Yang Berbahagia (YBhg) Datin Paduka Mastura Muhamad dan Pengasas Pergerakan Langkasuka dan Penerbit Buku Telepuk, Yang Berusaha (YBrs) Abdul Razak Aziz.
Seusai merasmikan buku berkenaan, Baginda berkenan melawat ke pameran barangan yang digunakan untuk membuat teknik telepuk serta melihat demonstrasi penghasilan hasil seni berkenaan.

Kain Telepuk dijadikan tanjak, samping, selendang, kain ikat pinggang dan sapu tangan yang sering dipakai untuk menghadiri majlis rasmi di istana dan sebagai pakaian istiadat perkahwinan.
Program ini telah berjaya dilaksanakan oleh Pergerakan Langkasuka dan menerima perhatian serta sokongan daripada Yayasan Hasanah dalam usaha memelihara tekstil warisan negara.
Pelancaran buku Telepuk: Forgotten Flowers of Gold merupakan edisi pertama dalam bahasa Inggeris. Buku ini berperanan penting dalam memelihara dan berkongsi sejarah yang kaya serta teknik halus seni telepuk, sekali gus memperkenalkannya kepada audiens global.