Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTahun Baharu Cina pada kali ini merupakan Tahun Ular. Mengikut kalendar masyarakat Cina, perayaan ini merupakan masa yang sesuai untuk berjumpa dengan ahli keluarga di samping berharap lebih bernasib baik pada tahun-tahun yang akan datang. Pada tahun ini, Tahun Baharu Cina akan jatuh pada 29 Januari 2025, menandakan bermulanya Festival Musim Bunga yang akan berlangsung selama 16 hari.
Berdasarkan kalender masyarakat Cina, tahun lepas (Tahun Naga) digambarkan sebagai bertenaga dan dinamik. Oleh itu, proses peralihan dari 2024 ke tahun 2025 diharapkan akan membawa bersama semangat zodiak ular yang bijak dan mengikut gerak hati (intuitif). Ular, melambangkan kebijaksanaan dan perubahan, menawarkan peluang untuk pertumbuhan dan perubahan peribadi.
Apakah Tahun Baharu Lunar?
Tahun Baharu Lunar, juga dikenali sebagai Tahun Baharu Cina atau Festival Musim Bunga, menandakan permulaan kitaran zodiak baharu berdasarkan kalendar lunar masyarakat Cina.
Perayaan ini disambut di seluruh dunia, terutamanya di negara Asia seperti China. Rumah akan dihias dengan hiasan yang berwarna merah, dibersihkan, pelbagai hidangan akan disajikan dan akan melawat ahli keluarga. Tradisi utama perayaan ini, iaitu menyalakan mercun, yang berasal dari legenda raksasa Nian.
Raksasa Nian
Menurut kisah dahulu kala, Nian ialah seekor binatang yang menakutkan dengan gigi dan tanduk yang tajam, hidup jauh dalam laut. Setiap malam pada Tahun Baharu, Nian akan datang ke darat untuk membuat onar di kampung.
Suatu hari, penduduk kampung mendapati bahawa Nian takut dengan warna merah dan bunyi yang kuat. Untuk melindungi diri mereka, mereka menggantung hiasan yang berwarna merah dan menyalakan mercun untuk menakutkan raksasa itu. Strategi itu berjaya, dan Nian berjaya dihalau kembali ke laut.
Kisah legenda ini menerangkan dua tradisi penting. Pertama, menggantungkan hiasan merah dan kedua, menyalakan mercun, mewakili kemenangan ke atas kejahatan dan permulaan baharu untuk tahun ini.
Tahun 2025 Tahun Ular
Zodiak Cina beroperasi dalam kitaran 12 tahun, dengan setiap tahun diwakili oleh haiwan-haiwan yang berbeza. Pada tahun 2025, masyarakat Cina akan memasuki Tahun Ular, haiwan keenam daripada 12 kitaran zodiak.
Menurut mitologi Cina, susunan haiwan zodiak ditentukan oleh Perlumbaan Besar yang dihoskan oleh Maharaja Jade. Ular, dikenali dengan sifat bijak dan strategik, berpusing di sekitar kuku Kuda, berjaya menamatkan perlumbaan di hadapan Kuda dan mendapat tempat keenam.
Tidak seperti Naga yang dikenali dengan sifat berani, Ular mewakili ketenangan dan muhasabah diri. Ciri-ciri ini dilihat penting untuk membimbing kehidupan seseorang dengan kebijaksanaan dan rahmat.
Peribadi Individu yang Dilahirkan pada Tahun Ular
Ular dianggap sebagai haiwan yang bijaksana, mengikut gerak hati, dan memiliki perilaku misteri. Secara semula jadi, mereka merupakan penyelesai masalah yang sangat baik dan penyampai yang mahir. Masyarakat yang lahir dalam Tahun Ular ialah tahun 1953, 1965, 1977, 1989, 2001, 2013, 2025 dan 2037.
Untuk melindungi diri mereka daripada nasib malang, mereka yang lahir pada Tahun Ular digalakkan untuk memakai pakaian merah sepanjang tahun 2025 seperti seluar dalam merah, stoking atau aksesori yang dianggap dapat mengelakkan kemalangan.
Walaupun tahun zodiak mereka mungkin membawa cabaran, halangan ini sering membawa kepada kebijaksanaan yang lebih besar dan pertumbuhan peribadi untuk individu yang dilahirkan pada tahun Ular.
Persediaan untuk Tahun Baru China
Ungkapan Guo Nian, yang bermaksud “menyambut tahun baharu” dalam bahasa Cina, membangkitkan perasaan untuk pertemuan semula sesama ahli-ahli keluarga. Di negara China, Tahun Baharu Lunar biasanya disertai dengan fenomena Chun Yun, penghijrahan manusia terbesar di dunia, ketika berjuta-juta orang mengembara untuk berjumpa semula dengan ahli keluarga mereka beberapa minggu lebih awal.
Merah ialah warna utama untuk hiasan, termasuk tanglung merah, keratan kertas, kuplet Festival Musim Bunga dan rentetan lada cili. Ini semua direka untuk menangkis Nian dan mengundang nasib baik.
Pakaian baru terutama untuk kanak-kanak menambah kemeriahan. Memakai pakaian berwarna merah baru pada Hari Tahun Baharu melambangkan permulaan yang baru dan mengundang tuah.
Malam Tahun Baharu Cina
Acara utama perayaan Tahun Baru Cina ialah makan malam bersama dengan ahli keluarga, yang jatuh pada 28 Januari 2025. Hidangan ini menampilkan hidangan yang penuh bermakna. Ladu, yang berbentuk seperti jongkong emas, melambangkan kekayaan. Ikan, dalam bahasa Cina berbunyi seperti perkataan untuk “lebihan,” mewakili kelimpahan. Mi menandakan umur panjang.
Pada sebelah utara negara China, orang ramai secara tradisinya akan memakan ladu dan mi, manakala di bahagian selatan, Nian Gao (kek beras melekit) merupakan hidangan wajib, melambangkan kekayaan yang semakin meningkat.
Hari Pertama dan Kedua Tahun Baharu: Lawatan Keluarga
Hari pertama dan kedua Tahun Baharu dikhaskan untuk melawat sanak-saudara, kaum keluarga dan rakan-rakan. Acara utama tradisi ini ialah pertukaran Hong Bao (sampul merah), yang membawa ucapan selamat.
Pada zaman dahulu, isyarat di sebalik poket merah adalah lebih penting daripada jumlah wang di dalamnya. Pada masa kini, malangnya, tumpuan telah beralih lebih kepada jumlah dan bukannya muhibah yang diwakili oleh tradisi ini.
Apabila melawat sanak-saudara dan kaum keluarga, kebiasaan untuk membawa hadiah, seperti buah-buahan atau minuman, dan bertukar-tukar ucapan seperti Gong Xi Fa Cai (semoga kesejahteraan anda) dan Guo Nian Hao (selamat tahun baharu).
Hari 3: Lawatan ke Kuil
Di kebanyakan bandar-bandar China, kuil tempatan berfungsi sebagai pusat kerohanian. Pada hari ketiga tahun baharu, 31 Januari 2025, secara tradisinya adalah hari dikhaskan untuk melawat kuil.
Orang ramai berkunjung untuk menawarkan persembahan kepada dewa, di samping memohon keberkatan daripada dewa, dan berunding dengan peramal tentang tahun hadapan akan datang. Ini juga merupakan masa untuk berhenti sejenak dan merenung secara rohani semasa tahun baharu bermula.
Hari 5: Menyambut Tuhan Kekayaan
Hari kelima tahun baru didedikasikan untuk menyambut Cai Shen, Dewa Kekayaan. Isi rumah menggantung imej Cai Shen untuk mengundang kekayaan dan kemakmuran untuk tahun hadapan.
Pada masa kini, sesetengah orang menukar kertas dinding (wallpaper) telefon atau komputer mereka kepada gambar Cai Shen untuk memberi sentuhan moden kepada tradisi ini.
Hari 15: Pesta Tanglung
Perayaan Tahun Baharu Lunar diakhiri dengan Pesta Tanglung, yang jatuh pada 12 Februari 2025, yang menandakan bulan purnama pertama tahun lunar. Dikenali sebagai Yuan Xiao Jie dalam bahasa Cina, perayaan ini terkenal dengan Yuan Xiao (bola nasi manis), yang bentuk bulatnya melambangkan perpaduan dan kebersamaan keluarga. Yuan Xiao (bola nasi manis) ialah sejenis makanan dibuat daripada tepung pulut, diisi dengan serbuk bijan atau kacang tanah dan gula, atau kacang merah, dimakan semasa Pesta Tanglung.