Diterbitkan pada 31 Januari 2025, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Kumpulan Kopratasa kembali dengan lagu puisi terbaharu, yakni Menuju Tengah Malam. 

Lagu terbitan syarikat Luncai Emas dicipta oleh Adiwangsa Sukma, seorang komposer dan penyanyi lagu puisi tanah air, manakala puisi tersebut karya Usop Kopratasa.

Semasa ditanya mengenai pelibatannya dengan Kopratasa, Adiwangsa berkata, beliau terpanggil untuk bersama-sama kumpulan itu apabila mengetahui mereka begitu bersungguh-sungguh untuk kembali mewarnai dunia lagu puisi tanah air setelah lama menyepi.

“Lagu Menuju Tengah Malam telah dirakamkan di Studio 67 milik saya sendiri dan diedarkan oleh Luncai Emas. Saya yakin gema lagu puisi yang indah dengan susunan butiran kata-kata puitis itu mampu meledakkan legasi khazanah lagu-lagu puisi negara”

“Lagu yang mengangkat roh naqliah dalam mesejnya itu ibarat sentuhan magis yang meneruskan kesinambungan kehebatan Kopratasa,” katanya. 

Berentak bolero dalam cabang muzik Latin, lagu Menuju Tengah Malam disampaikan secara paduan suara Usop Kopratasa dan Adiwangsa Sukma.

Terdahulu, Kopratasa yang dianggotai oleh Mohd Yusof Ahmad (Usop), Sani Sudin dan Syed Indera Syed Omar (SISO) telah menghasilkan sembilan album bermula dengan album Keringat Dalam Pasrah (1987) hinggalah album Kopratasa Masih Bertiga…Tetap Berbisa (2006).

Selepas pembubaran kumpulan Harmoni pimpinan Zubir Ali, Kopratasa mengisi kekosongan genre lagu puisi dengan lagu-lagu yang meruntun jiwa seperti Permata Untuk Isteri (puisi Aziz H.M.), Tetamu Senja (Sasterawan Negara Datuk Seri Dr. A. Samad Said) dan Masihkah Kau Ingat (Kopratasa).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi