Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Acara Malaysia Sarong Music Run 2025 bukan sekadar acara kecergasan, tetapi suatu platform untuk meraikan dan juga mempromosikan kebudayaan yang ada di Malaysia.
Pelepasan acara tersebut telah dilakukan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di hadapan Menara Berkembar Pertronas (KLCC) pada 8 Februari 2025 yang lalu.
Terdapat dua kategori pada acara kali ini, iaitu larian 5 kilometer dan juga berjalan kaki 3 kilometer.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut bersama-sama peserta lain untuk berjalan sejauh 3 kilometer menyatakan keterujaan beliau melihat semangat yang ditunjukkan oleh para peserta, lebih-lebih lagi banyak peserta yang mengambil bahagian memakai kain sarung sebagai busana larian.

Di sepanjang laluan, peserta dipersembahkan dengan pelbagai tarian etnik yang ada di Malaysia seperti tarian zapin, tarian singa, tarian bhangra dan tarian etnik Borneo, manakala di garisan permulaan, para peserta disajikan dengan paluan kompang yang cukup mengasyikkan.
Selain tarian, para peserta turut dihidangkan dengan pelbagai kuih-muih tradisi seperti kuih penjaram, kuih keria, kuih lapis, karipap dan pelbagai jenis kuih lagi serta dijamu dengan teh tarik.

Para pengunjung yang hadir juga berpeluang untuk bermain permainan tradisional seperti congkak, gasing dan batu seremban.
Untuk rekod, acara kali ini telah berjaya menghimpunkan lebih 10 000 orang peserta berbilang kaum dari seluruh negara yang bukan hanya berlari, malahan turut meraikan kepelbagaian budaya menerusi tarian, makanan dan permainan tradisional.
Acara ini dilaksanakan bersama oleh LOCCO dan Kereta Api Sarong, serta disokong erat oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia.