Diterbitkan pada 26 Februari 2025, 13:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tasek Gelugor – Dalam usaha memperkukuh budaya silaturahim dan kebersamaan, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Majlis Ilmu dalam kalangan staf.

Majlis dimulakan dengan tazkirah bertajuk Kelebihan Bulan Ramadan yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Shaik Abdullah Hassan Mydin yang menekankan kepentingan ibadah puasa sebagai satu bentuk penyucian jiwa dan medan mempererat hubungan sesama umat Islam. Seterusnya, bacaan Yasin dipimpin oleh beliau bersama para pensyarah, staf PPPJJ yang hadir.

Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga tetapi juga bulan penyucian diri dan peningkatan ketakwaan. Dalam surah Al-Baqarah ayat 183: ‘Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.’ Maka, bulan ini adalah peluang untuk kita mendekatkan diri kepada Allah serta memperkukuh hubungan sesama manusia melalui sedekah, doa dan ukhuwah yang erat,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Dekan PPPJJ, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaakob, menzahirkan rasa syukur atas penganjuran program yang bukan sahaja memperkayakan nilai rohani tetapi juga memperkukuh semangat kekeluargaan dalam kalangan warga akademik.

Lebih istimewa, majlis ini diakhiri dengan jamuan secara potluck, setiap hadirin membawa juadah untuk dikongsi bersama. Konsep ini bukan sahaja menambah kemeriahan majlis, tetapi juga mengukuhkan semangat kebersamaan dan tolong-menolong.

Menurut Dr. Zulnaidi, majlis sebegini wajar dijadikan amalan dan budaya dalam kalangan umat Islam, khususnya di institusi pendidikan sebagai satu cara untuk membudayakan nilai perpaduan dan kasih sayang.

“Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa tetapi juga waktu terbaik untuk memperkukuh ukhuwah, berkongsi rezeki serta menghidupkan budaya kebersamaan yang semakin terhakis dalam kehidupan moden pada hari ini,” katanya.

Dengan sambutan yang begitu positif, diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyemarakkan lagi semangat Ramadan dan memperkukuh budaya silaturahim dalam kalangan masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi