Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Malam Gema Puisi Ramadan 2025 menggamit emosi penonton dengan persembahan memukau daripada Kelab Teater Rajuk Pahang (TRP) menerusi puisi dan drama (Puisdra) bertajuk Selimut Putih.
Acara anjuran TRP dengan sokongan penuh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang itu berlangsung di pekarangan Stadium Darul Makmur pada 23 Februari 2025 dengan kehadiran banyak pencinta seni.
Karya dan arahan AK Hidayat ini mengangkat simbolik mendalam tentang kehidupan dan kematian.
Dengan busana serba putih yang dipakai oleh para pelakon, persembahan ini memberikan gambaran jenazah yang dikafankan yang melambangkan pengakhiran perjalanan hidup manusia.
Simbolisme ini berjaya memberikan kesan mendalam kepada para penonton yang terpaku sepanjang pementasan.
Para pelakon berjaya menghidupkan mesej dan emosi yang ingin disampaikan dalam karya ini.
Menurut pengarahnya, AK Hidayat, Selimut Putih bukan sekadar sebuah persembahan seni, tetapi menjadi renungan buat semua tentang hakikat kehidupan.
“Kita sering alpa dengan kehidupan duniawi, namun akhirnya kita akan kembali kepada-Nya.
Persembahan ini mengajak penonton merenung perjalanan kehidupan dan bersiap sedia untuk keabadian,” katanya.
Program ini dirasmikan oleh Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir Razali Kassim yang turut tampil ke pentas membacakan puisi bertajuk Kenangan 1986: Bengkel Teater Kuantan.
Selain itu, beberapa orang pemuisi turut menyampaikan puisi ketuhanan seperti Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mansor Abdullah, Dato’ Dr. Ahmad Munawar Jalil, Asmui Mustapha, Farihan Manan, Ifhamuddin Mohamad, Mastura Ismail, dan HM Nordin.
Kumpulan Anak Kayan dan Kumpulan Kopratasa turut memeriahkan majlis dengan lagu puisi ketuhanan.
Persembahan ini mendapat sambutan hangat daripada penonton yang kebanyakannya meluahkan rasa sebak dan kagum terhadap penyampaian yang begitu mendalam.
Malam Gema Puisi Ramadan 2025 bukan sahaja menghidupkan apresiasi terhadap seni persembahan, tetapi juga memberikan ruang untuk muhasabah diri dalam suasana penuh keinsafan.