Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Teater Pelanduk Terakhir yang bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan sekadar sebuah persembahan seni, tetapi sebuah naratif yang kuat, menyentuh jiwa dan membawa mesej mendalam tentang kelangsungan warisan budaya bangsa.
Teater ini dijadualkan akan berlangsung pada 25 hingga 27 April 2025 dan dianjurkan oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) telah mendapat sokongan penuh Majlis Kebudayaan Negeri Pahang (Baharu), Tourism Pahang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS serta DBP.
Teater ini bukan hanya hiburan semata-mata, tetapi satu seruan penting untuk mengangkat dan menghargai seni serta budaya warisan Melayu yang semakin dilupakan. Pelanduk Terakhir hadir sebagai simbol peringatan bahawa jika tiada usaha memulihara khazanah seni, maka akan menjadi ‘pelanduk terakhir’ yang akhirnya pupus ditelan zaman.
Menariknya, produksi ini melalui DPMP Kawasan Kuantan menjadi kumpulan pertama yang menghantar permohonan kepada DBP Wilayah Tengah untuk mendapatkan kerjasama dalam menjayakan pementasan ini seiring dengan inisiatif yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri kepada penggiat seni dan bahasa.
Usaha ini menandakan satu langkah besar dalam memperjuangkan seni teater warisan agar terus diberi tempat dalam arus perdana.

Pengarah dan penulis skrip teater Pelanduk Terakhir, Suezanna MS tampil sebagai individu utama yang menggerakkan inisiatif ini berkongsi kegembiraan kerana apa yang bakal dipentaskan bermula daripada satu naskhah skrip yang dihasilkan dalam Bengkel Menulis Skrip yang dianjurkan oleh DPMP dan DBP Wilayah Tengah di Pulau Tioman pada Ogos 2024.
Jika bukan kita yang memulakan, siapa lagi? Kita tidak boleh membiarkan seni warisan ini lenyap begitu sahaja. Pelanduk Terakhir bukan hanya sekadar tajuk teater, tetapi satu simbol kepada tanggungjawab kita terhadap sejarah dan budaya kita sendiri
Beliau turut berharap agar pementasan ini bukan sekadar sebuah produksi teater, tetapi menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif untuk memperkukuh seni dan budaya bangsa.
Saya ingin melihat lebih banyak karya seni tradisional diangkat ke pentas besar, dihargai dan dihayati oleh generasi muda. Ini adalah sebahagian daripada identiti kita yang harus kita banggakan.
Satu daripada pelakon teater ini, iaitu Sdr. Roslan Madun yang membawa watak Zaman, turut menyuarakan pandangannya mengenai kepentingan seni warisan ini. “Teater ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu amanah kepada generasi akan datang. Kita harus terus memperjuangkan seni budaya agar ia tidak hilang ditelan zaman. Inilah masanya untuk kita mengembalikan keagungan seni teater Melayu,” katanya penuh semangat.

Sementara itu, pelakon Fareez Hazwan Fauzi, yang membawa watak Fateh, berkongsi keterujaannya dalam menjayakan teater ini. “Sebagai pelakon muda, saya merasa sangat bertuah dapat terlibat dalam produksi yang membawa warisan bangsa ke pentas besar. Watak Fateh memberikan saya peluang untuk memahami lebih mendalam tentang nilai budaya dan sejarah Melayu. Saya berharap generasi muda akan lebih menghargai seni teater tradisional dan meneruskannya di masa hadapan,” ujarnya yang juga anak kepada pasangan pelakon terkenal tanah air, Fauzi Nawawi dan Lisdawati.
Dengan gabungan bakat hebat dalam industri seni persembahan dan pengisian naratif yang memukau, Pelanduk Terakhir bakal menjadi satu produksi yang tidak boleh dilepaskan oleh para pencinta seni dan budaya Melayu. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sejarah dipentaskan, sebelum benar-benar lenyap dari arus permodenan dunia hari ini.