Diterbitkan pada 1 Jun 2025, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Keraton Mbah Anang telah menjadi tuan rumah untuk program Kuda Kepang Karat secara tertutup yang melibatkan kerjasama dengan penggiat seni Kumpulan Kesenian Tedja Timur 1948 dari Singapura dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), baru-baru ini. ikuti tulisan berkenaan program tersebut oleh tiga orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh.

Tarian Kuda Kepang tersebut telah dipersembahkan oleh Kumpulan Kesenian Tedja Timur 1948 yang dipimpin oleh Iswandiarjo Wismodiarjo (Cikgu Wandi). Pimpinan Cikgu Wandi telah menampilkan dua jenis persembahan tari kuda kepang khusus daripada tanah Jawa, iaitu Jaranan (Jawa Tengah) dan Senterewe (Jawa Timur). Persembahan ini melibatkan seramai 120 orang penggiat seni Singapura dari pelbagai peringkat umur di mana masing-masing menunjukkan komitmen mereka dalam memelihara dan meneruskan tradisi seni kuda kepang Sang Nila Utama seterusnya ditampilkan di Keraton Mbah Anang.

Menurut Cikgu Wandi, Kesenian Tedja Timur 1948 adalah kumpulan seni kuda kepang yang beroperasi di Singapura sejak tahun 1948. Kumpulan ini merupakan warisan yang diturunkan daripada datuk neneknya, dan kini beliau merupakan generasi yang kelima yang memegang tampuk kepimpinan kumpulan ini. Katanya lagi, Kuda kepang ialah satu daripada seni warisan budaya Jawa yang perlu dipelihara agar dapat kekal bertahan dan subur dalam kalangan masyarakat.

Sejarah kuda kepang di Singapura bermula pada tahun 1948, yang diasaskan oleh Haji Dahlan. Kesenian ini berkembang pesat sehingga melahirkan lima kumpulan pada tahun 1990-an. Pada masa ini, terdapat lebih kurang 1000 penggiat seni kuda kepang yang aktif di Singapura.

Tari Jaranan dan Senterewe yang berasal dari tanah Jawa lebih agresif dan merupakan drama tari atau tarian perang yang menggambarkan konflik antara dua kerajaan. Senterewe berasal daripada gabungan perkataan sente (gatal) dan rewe (sejenis tumbuhan). Sebaliknya, permainan kuda kepang (kuda kepang mabuk) lebih cenderung kepada gerakan yang lebih santai dan melodious, dan sering kali mengandungi elemen mistik dalam permainannya.

Antara elemen yang penting dalam persembahan tari kuda kepang Jaranan dan Senterewe termasuklah koreografi, muzik gamelan dan kostumnya. Setiap tarian kuda kepang mempunyai seni koreografi dan keunikan tersendiri yang harus dihargai dan dipelajari.” – Cikgu Wandi.

Elemen koreografi dalam tari kuda kepang bukan sahaja menggambarkan naratif yang berkaitan dengan sejarah dan mitologi, tetapi juga menunjukkan teknik dan kemahiran penggiat seni yang telah diturunkan dari generasi ke generasi. Muzik gamelan dengan melodi dan ritma yang khusus juga memainkan peranan yang signifikan dalam memberikan suasana latar belakang dan intensiti persembahan. Oleh itu, penghayatan terhadap setiap elemen ini penting untuk difahami dan menghargai seni kuda kepang sebagai suatu bentuk ekspresi budaya masyarakat Jawa.

Menurut Johar Paimin, pengasas Persatuan Jawa Parit Bugis Muar Johor (PEJAWA), aspek koreografi tari Jaranan dan Senterewe yang ditampilkan oleh Kumpulan Kesenian Tedja Timur 1948 ini sangat menarik dan berpotensi untuk dijadikan ikutan dan teladan terhadap seni kuda kepang tempatan. “Kami percaya bahawa dengan persembahan yang mengikut penetapan garis panduan yang jelas, penggiat seni tempatan dapat menyisihkan aspek khurafat, syirik, dan mistik dalam persembahan mereka.”

Menghargai tradisi kuda kepang bukanlah sesuatu yang boleh dipaksakan, tetapi perlu dibina melalui pengalaman dan minat seseorang individu. Generasi muda hari ini terdedah kepada pelbagai bentuk hiburan dan budaya global. Oleh itu, penting untuk memberi mereka ruang bagi meneroka dan mencari apa yang mereka suka dalam seni kuda kepang.

Menurut Cikgu Wandi, “Kita tidak boleh memaksa generasi yang akan datang untuk menghargai kepentingan tradisi. Kita perlu memberi mereka ruang untuk mencari apa yang mereka suka, dan dari situ mereka akan memahami kepentingan seni dan budaya. Hal ini kerana, minat adalah kunci untuk melestarikan seni. Kita perlu mendekati generasi muda dengan cara yang menarik, seperti menggunakan lagu-lagu yang mereka suka, agar mereka dapat mengenali dan menghargai seni tradisional.”

Kesenian kuda kepang mempunyai nilai budaya yang tinggi dan merupakan sebahagian daripada warisan masyarakat Jawa di Malaysia. Namun begitu, terdapat kebimbangan mengenai pengaruh unsur khurafat dan mistik dalam persembahan yang menyalahi ajaran agama. Oleh itu, pihak penganjur dan Keraton Mbah Anang menekankan kepentingan terhadap penetapan garis panduan yang baru oleh pengkaji tempatan dan jabatan agama bagi memberikan pendedahan yang jelas kepada penggiat seni kuda kepang di tanah air.

Melestarikan seni kuda kepang memerlukan usaha untuk “membuang seni yang keruh,” iaitu menghapuskan unsur-unsur khurafat dan mistik yang bertentangan dengan nilai-nilai agama. Pendekatan ini memastikan tradisi ini kekal relevan dan selari dengan prinsip syariah, sekali gus memperkukuh identiti budaya tanah air yang bertunjangkan agama Islam.

Tuntasnya, program Kuda Kepang Karat di Keraton Mbah Anang bukan sahaja menjadi wadah untuk mempamerkan keindahan seni budaya, tetapi juga sebagai inisiatif untuk memelihara dan melestarikan tradisi ini dalam konteks yang lebih moden dan sesuai dengan ajaran agama.

Harapan pihak penganjur dan PEJAWA semoga ukhwah dan kerjasama antara penggiat seni, institusi pendidikan, dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dapat dieratkan seterusnya menjadikan seni kuda kepang terus berkembang dan kekal relevan dalam kalangan masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi