Oleh Pie Asyraf
Diterbitkan pada 16 Jun 2025, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Gabungan gempak antara pelakon legenda Hong Kong, Louis Koo dan pempengaruh terkenal Malaysia, Sofyank, mencuri tumpuan ramai apabila mereka tampil bersama dalam sebuah video pendek kreatif sempena promosi filem terbaharu Behind The Shadow.

Lebih mengagumkan, video tersebut meraih lebih daripada 1 juta tontonan hanya dalam masa 12 jam, sekali gus mencetuskan fenomena dalam media sosial tempatan.

Menurut Sofyank, peluang bekerjasama dengan pelakon tersohor Asia itu merupakan antara pengalaman paling bermakna sepanjang kerjayanya.

“Kolaborasi kali ini memang cukup mengujakan sebab Louis Koo merupakan pelakon Hong Kong dan China pertama yang saya pernah bekerjasama. Saya masih ingat masa kecil dulu, selalu tengok beliau berlakon di kaca TV. Jadi apabila mendapat peluang untuk muncul satu skrin dengan beliau, memang rasa macam mimpi jadi nyata”

Walaupun hanya diberikan sekitar 20 minit untuk menyelesaikan penggambaran disebabkan jadual ketat Louis Koo, Sofyank berkata semuanya berjalan lancar dan penuh profesionalisme.

“Beliau memang nampak serius dan “cool” pada awalnya, tapi alhamdulillah, beliau sangat profesional dan “sporting. Malah, Louis sendiri mencadangkan beberapa aksi spontan yang kelakar, termasuklah babak bertih jagung dan kami berjaya siapkan penggambaran dalam masa kurang 20 minit”

Sebelum ini, Sofyank atau nama sebenarnya Mohamad Sofian, merupakan anak muda berbakat dari Kelantan yang pernah mengharumkan nama negara apabila memenangi pertandingan VFX antarabangsa pada tahun 2023.

Dengan kemahiran visual bertaraf dunia dan kreativiti tinggi, beliau pernah bekerjasama dengan nama-nama besar Hollywood seperti Tom Cruise, Will Smith, Ryan Reynolds dan Tom Holland.

Kini, Sofyank sekali lagi mencatat sejarah tersendiri apabila berganding pula dengan ikon filem Asia, Louis Koo, dalam satu projek promosi yang cukup unik dan ternyata mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia.

Video yang dihasilkan bertujuan mempromosikan filem Behind The Shadow yang bertemakan detektif.

Filem tersebut menampilkan Louis Koo dalam sebuah kisah jenayah penuh misteri yang menggabungkan elemen psikologi, penyiasatan, kejutan serta “plot twist yang mendebarkan.

Lebih menarik, latar tempat filem ini membawakan suasana yang amat dekat dan relevan dengan rakyat Malaysia, iaitu pasar malam, medan selera, sekolah, jejantas dan kawasan bandar  yang diolah menjadi lokasi kejadian yang penuh misteri.

Filem Behind The Shadow sedang ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi