Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTeluk Intan — Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) telah menyertai program istimewa, “Menyusuri Sungai Perak” yang berlangsung di Dataran Teluk Intan, baru-baru ini.
Peserta program telah dibawa menyusuri Sungai Perak menaiki bot dari jeti Teluk Intan, sambil diberi penerangan tentang lokasi bersejarah dan kehidupan masyarakat pesisir yang kian berubah.
Aktiviti ini bukan sahaja menyentuh memori sejarah, malah membuka ruang refleksi terhadap peranan sungai sebagai nadi budaya dan ekonomi negeri.
Menurut Dr. Husairi Hussin, program seperti ini bukan sekadar menyusuri sungai secara fizikal, tetapi membawa kita menyelami makna warisan dan akar budaya yang pernah menyatukan masyarakat.
“Sungai Perak menyimpan jejak sejarah yang sangat kaya dan wajar digali dalam konteks penulisan dan pendidikan bangsa.”
Sesi diskusi santai serta perkongsian pengalaman turut memberi warna kepada program, apabila para penulis dan pencinta warisan berkongsi cerita tentang Sungai Perak untuk menjadi ilham dalam karya.
Generasi muda harus diberi ruang untuk merasai sendiri denyut sejarah dalam bentuk pengalaman langsung bukan sekadar daripada lensa kamera atau media sosial.
Terdahulu, program tersebut diadakan sempena dengan Program Tingkah Berpencak Rebana Berpalu, Puisi dan Syair Berdendang anjuran Pentas Perak di bawah pimpinan Azmi Ismail.
Program anjuran Pentas menjadi platform untuk meraikan warisan budaya pesisir sambil menyemarakkan semangat kecintaan terhadap sejarah tempatan.
Majlis turut diserikan dengan keterlibatan tetamu kehormat, Presiden GAPENA, YBhg. Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan, bersama wakil-wakil kerabat GAPENA termasuk Ketua 1 ASASI, Dr. Husairi Hussin dan wakil-wakil daripada kerabat pertubuhan penulis lain yang bergabung di bawah naungan GAPENA seperti 2PNP (Pulau Pinang) dan 3P (Perlis).
Usaha Pentas Perak ini bertepatan dengan aspirasi GAPENA untuk memasyarakatkan sastera dan mengangkat kembali warisan budaya melalui pendekatan yang hidup dan inklusif.
Program seperti ini wajar diteruskan agar warisan sungai dan budaya bangsa terus mengalir, bukan sahaja dalam sejarah tetapi dalam jiwa generasi yang akan datang.