Diterbitkan pada 26 Jun 2025, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Dalam era kemajuan teknologi dan keterbukaan informasi, mahasiswa wajar kembali kepada akar tamadun, iaitu budaya ilmu dan pemikiran bangsanya.

Hal ini telah dijelaskan oleh Pengarah Pusat Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM), YBrs. Prof. Dr. Goh Sang Seong semasa menyampaikan Syarahan Keris Mas Kali Ke-4 di Dewan Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), USM, semalam.

Beliau telah mengangkat tajuk “Keutuhan Malaysia MADANI melalui Terjemahan Pemikiran Melayu dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur”.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa karya sastera seperti nukilan Sasterawan Negara Keris Mas bukanlah sekadar bahan bacaan hiburan, malah medan untuk menelusuri falsafah bangsa.

“Pemikiran Melayu yang tercerna dalam karya klasik memberi panduan nilai, moral serta visi masyarakat. Mahasiswa mesti mendalami wacana seperti ini untuk memahami makna kemajuan yang berteraskan jiwa bangsa,” ujar beliau.

Program yang menghimpunkan pelajar dari Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam (HSBM) serta pelajar dan pensyarah USM ini menjadi bukti bahawa apresiasi terhadap karya sastera mampu merentasi sempadan disiplin.

Satu daripada seorang pelajar, Mohammad Adib pelajar HSBM berkongsi, “Saya tidak sangka karya seperti Saudagar Besar dari Kuala Lumpur begitu relevan. Ceramah ini membuka ruang baharu kepada saya untuk memahami realiti sosial dan ekonomi dengan lebih kritis.”

Terdahulu, Syarahan Keris Mas kali ke-4 ini bukan sekadar majlis ilmu, sebaliknya suatu isyarat bahawa universiti harus kekal sebagai medan tumbuhnya pemikiran yang menyatukan akar budaya dengan cabaran semasa.

Syarahan anjuran bersama Penerbit USM dengan Dewan Bahasa dan Pustaka ini juga menekankan keperluan membina tradisi intelektual dalam kalangan mahasiswa melalui penghargaan terhadap warisan pemikiran.

Usaha ini sejajar dengan matlamat Malaysia MADANI, iaitu masyarakat berilmu, berbudaya dan berjati diri.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, YBhg. Profesor Dr. Habibah Binti A. Wahab. Turut hadir menyemarakkan syarahan ini, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari serta Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi