Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penerbit dan pengurus syarikat produksi Mask Team, Juan Ab Aziz, berkata kolektif teater di Malaysia wajar diberikan sokongan promosi dan komersial untuk menjual naskhah.
Oleh itu, pihaknya berbesar hati membawakan pementasan Persiapan Seorang Aktor yang sebelum ini memenangi anugerah BOH Cameronian Arts Awards ke-20 di pentas lebih berprestij.
“Kami faham cabaran bidang teater di Malaysia sangat berlainan, terutama jika mahu bandingkan sambutannya dengan program hiburan”
“Kami sendiri ramai kawan daripada penggiat seni teater dan faham cabaran mereka khususnya dari aspek komersial”
“Inilah sebabnya kami sedaya upaya terbitkan juga teater sekurang-kurangnya setahun sekali. Bukan sebab duit sebaliknya rasa tanggungjawab kami kepada industri seni,” katanya.
Juan ditemui oleh wartawan JendelaDBP semasa sesi sidang media Persiapan Seorang Aktor di Sudu House, baru-baru ini.
Turut hadir di sesi tersebut ialah pengarah teater, Dr Syahrul Musa serta barisan pelakon iaitu Nam Ron, Fazleena Hishamuddin dan Aloy Paradoks.
Sementara itu, pelakon dan aktivis teater, Fazleena berkata kolaborasi ini penting bagi membolehkan pengkarya fokus kepada produk tanpa terganggu dengan kerja promosi.
“Pertembungan antara komersial dan kolektif independen ini signifikan terutama dalam era hari ini. Kita perlukan orang yang ada kemahiran menjual naskhah sebagaimana kita perlukan orang berkarya”
“Kami percaya dengan strategi Mask Team, dan ikut segala yang diatur, teater ini memang ada lapisan untuk difikirkan, tapi juga menghiburkan,” katanya.
Dengan bajet lebih besar, Persiapan Seorang Aktor bakal berlangsung empat hari bermula 17 Julai di Performance Arts Centre (PJPAC).
Terdahulu, teater ini pernah dipentaskan kali pertama di Studio Sedar Ruang, Shah Alam pada 2024 sehingga melayakkannya memenangi dua kategori Best of 2024 dan Best Original Script (Saat Omar) di BOH Cameronian Arts Awards ke-20.
