Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSurabaya – Program mobiliti pelajar dan pensyarah Kulliyyah of Sustainable Tourism and Contemporary Languages, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pagoh ke Universitas Negeri Surabaya (UNESA) merupakan inisiatif dalam usaha memartabatkan budaya Melayu ke peringkat antarabangsa.
Program ini disertai seramai lapan orang pensyarah dan 12 orang pelajar yang berlangsung dari 12 hingga 20 Julai 2025. Program ini juga bertujuan untuk memeterai perjanjian MOU antara kedua-dua universiti.
Menurut ketua program Dr. Mohamad Suhaizi Suhaimi, program ini diadakan untuk memartabatkan budaya Melayu ke peringkat antarabangsa di samping melibatkan pertukaran ilmu kedua-dua negara.
Di UNESA yang mempunyai kebudayaan Jawa dilihat menjadi budaya tempatan, manakala di Pagoh pula masyarakat Jawa merupakan mikroetnik yang mendiami kawasan tersebut.

Berdasarkan pemerhatian dan soal selidik yang dijalankan, masyakarat Jawa di Indonesia amat berbeza dengan masyarakat Jawa di Malaysia yang memperlihatkan bahawa masyarakat Jawa di Indonesia tidak semestinya Islam, manakala di Malaysia sebaliknya, iaitu masyarakat Jawa di Malaysia semestinya Melayu dan Islam.
Program mobiliti ini juga memperlihatkan pengajaran dan pendedahan budaya Melayu kepada rakyat Indonesia melalui aktiviti yang telah dirangka.
Antara aktiviti pendedahan budaya termasuklah permainan tradisional Melayu dan pembentangan kertas kerja antara kedua-dua negara. Menurut Encik Danang Wijoyanto program mobiliti ini perlu diperluas terutamanya di negara serantau dalam usaha untuk memartabat dan memelihara warisan kedua-dua negara terutamanya bahasa perantara.
Menurut beliau lagi yang juga merupakan seorang pensyarah di Fakultas Bahasa dan Seni, perbezaan bahasa dan budaya kedua-dua negara tidak harus dijadikan sebagai titik pemisah, namun perbezaan kedua-dua budaya harus diraikan demi mencapai kesepakatan bersama-sama.

Selain memperkenalkan keunikan bahasa Melayu ke Indonesia, program ini juga adalah untuk menandatangani perjanjian MOU antara kedua-dua universiti.