Diterbitkan pada 25 Julai 2025, 12:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Zahariz Khuzaimah, seorang pengembara solo dan pembikin dokumentari tanah air yang dikenali dengan jiwa bebasnya, melancarkan karya terbaharunya, Dengan Basikal Aku Merentas Benua Asia, Catatan Pengembara Penuh Inspirasi, baru-baru ini.

Buku ini merupakan helaian demi helaian catatan peribadi yang merangkum kisah kembaranya merentas benua Asia, sarat dengan liku dan cabaran, namun dihiasi keindahan nilai kemanusiaan yang merentas sempadan geografi dan budaya.

Menurut Zahariz, karya ini bukan sekadar rakaman perjalanan fizikal, tetapi juga cerminan sebuah pencarian jiwa yang mendalam di sebalik angin sepoi bahasa di kawasan padang, salju pergunungan dan denyut nadi dunia yang jarang diterokai oleh para pengembara.

“Buku ini bukan sekadar dokumentasi perjalanan fizikal, tetapi merupakan refleksi jiwa dan falsafah hidup yang digarap melalui pertemuan dengan pelbagai watak dan budaya sepanjang pengembaraan sejauh ribuan kilometer merentas Asia, dari selatan China hingga ke Kyrgyzstan”

“Setiap kayuhan memberikan saya pengajaran hidup – tentang erti kesabaran, ketabahan, kepercayaan kepada manusia dan keagungan ciptaan Tuhan. Penulisan ini adalah hadiah dari saya untuk mereka yang ingin menjelajah melihat dunia dan lebih mengenali diri sendiri”

“Saya percaya bahawa dunia ini adalah “sekolah” yang sangat luas dan tiada silibus yang lebih hidup daripada pengalaman di jalanan. Kita belajar tentang budaya, agama, bahasa dan pelbagai ragam manusia – semua itu menyedarkan saya betapa luasnya rahmat Allah dan betapa kecilnya diri kita sebagai manusia”

“Saya harap buku ini dapat menjadi pemangkin kepada pembaca untuk berani keluar dari zon selesa, mengembara walau dalam bentuk yang kecil dan melihat dunia ini dengan lebih terbuka dan penuh kasih sayang,” ujar Zahariz ketika menyampaikan ucapan di majlis pelancaran buku yang merupakan karya pertama beliau.

Buku ini menghimpunkan lebih 200 halaman kisah sebenar, disertakan foto-foto eksklusif dari lensa Zahariz sendiri, menjadikan ia bukan sahaja sebagai bahan bacaan, malah sebagai karya visual yang menyentuh hati pembaca.

Buku ini dicetak terhad dengan harga jualan RM62 (tidak termasuk kos penghantaran), boleh diakses secara online melalui pelantar media sosial Zahariz Khuzaimah (IG : @zahariz, Youtube & TikTok : Zaharizkhuzaimah & Facebook : Zahariz)

Sementara itu, bagi penaja lokasi majlis pelancaran dan pelbagai peralatan kembara Zahariz iaitu pihak Rodalink, Meor Latif (Pengurus Cawangan Rodalink Bangsar) berharap lebih ramai belia akan terlibat dalam aktiviti riadah menggunakan basikal sebagaimana dilakukan oleh Zahariz.

“Rodalink sangat berbesar hati menjayakan impian Zahariz dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap misi Zahariz bagi mengangkat budaya kembara dan menjadikan pengembaraan sebagai medium pendidikan tidak formal yang sangat berharga”

“Kami di Rodalink percaya bahawa pengembaraan bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi satu bentuk pembelajaran hidup yang mendalam. Melalui perjalanan seperti yang dilalui oleh Zahariz, kita dapat melihat bagaimana basikal bukan sekadar alat mobiliti, tetapi simbol kebebasan, kesederhanaan dan hubungan erat dengan alam.”

Kami amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada kejayaan pelancaran buku ini kerana ia mencerminkan nilai-nilai yang kami perjuangkan – iaitu keberanian untuk mencabar diri, ketekunan dalam menghadapi rintangan dan keindahan dalam menyelami budaya dan pengalaman baharu.

Kami berharap kisah inspirasi Zahariz ini dapat menyuntik semangat dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda, untuk melihat dunia secara lebih terbuka, berani mencuba sesuatu yang berbeza, dan lebih menghargai erti perjalanan – bukan hanya destinasi. Kepada para peminat sukjan outdoor khususnya basikal generasi moden boleh akses website kami di www.rodalink.com,” ujar Meor.

Di majlis ini, Zahariz turut menayangkan pelbagaibahagian filem menarik sepanjang hampir sembilan bulan beliau mengembara yang bermula bulan Mei 2010 hingga Februari 2011.

Kembara ini bermula di Chengdu (China) dan berakhir di pergunungan di Kyrgyzstan. Pengembaraan ini melibatkan kos perbelanjaan RM8 ribu ringgit termasuk tiket penerbangan, makan minum, kos penyelengaraan basikal, penginapan dan perubatan.

Zahariz bergambar dengan seekor unta ketika mengayuh basikal dalam perjalanan di Gurun Taklamakan yang terletak di Xinjiang Selatan, China.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi