Diterbitkan pada 1 Ogos 2025, 15:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gelugor – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Hari Terbuka bertemakan ODL Experience Day dengan meriah dan berinformasi.

Program ini berjaya menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk guru dan pelajar Tingkatan 6 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Sungai Petani, Kedah.

Acara yang berlangsung di Laman Lestari, USM ini dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan pameran dan jualan oleh pelbagai penyedia maklumat akademik serta perkhidmatan berkaitan pengajian jarak jauh.

Dalam ucapan aluan, Dekan PPPJJ, Prof. Madya Dr. Zulnaidi Yaacob menekankan peranan penting pendidikan jarak jauh dalam memperluas akses kepada ilmu secara inklusif dan lestari.

“ODL bukan sekadar alternatif kepada pembelajaran konvensional tetapi satu keperluan dalam dunia yang semakin digital dan anjal. Kita mahu pastikan pendidikan tinggi boleh diikuti oleh semua tanpa sempadan geografi, umur atau pekerjaan,” ujar beliau.

Sesi pengenalan kepada Open and Distance Learning (ODL) disampaikan oleh Dr. Chua Hang Kuen, Timbalan Dekan Teknologi dan Sokongan Pembelajaran, PPPJJ. Dalam taklimat tersebut, beliau menjelaskan struktur dan kelebihan pembelajaran ODL, termasuk pendekatan berpusatkan pelajar yang fleksibel dan menyokong pembelajaran kendiri melalui penggunaan teknologi.

Program diteruskan dengan taklimat Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) yang disampaikan oleh Dr. Zarina Md. Nor, Penyelaras Pusat APEL USM. Beliau menerangkan pengalaman kerja dan kemahiran tidak formal boleh dinilai dan diiktiraf sebagai kredit untuk kemasukan atau pengurangan tempoh pengajian.

Program turut diserikan dengan perkongsian pengalaman alumni oleh Puan Nurul Atiqah Mutaza, alumni Sains Kemasyarakatan PPPJJ USM tahun 2024 menerusi sesi bertajuk ODL Journey.

Lawatan ke fasiliti pembelajaran ODL dan reruai pameran juga menjadi tarikan utama peserta yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman pembelajaran secara atas talian.

Dengan penganjuran program seperti ini, PPPJJ USM sekali lagi membuktikan komitmennya sebagai peneraju pendidikan jarak jauh negara. ODL Experience Day bukan sahaja mendekatkan masyarakat kepada dunia pengajian tinggi, malah membuka ruang kepada golongan muda dan berkerjaya untuk merealisasikan impian akademik mereka dengan cara yang lebih anjal dan praktikal.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi