Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Usaha memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat disemarakkan oleh ahli akademik Universiti Sains Malaysia (USM) melalui sesi lawatan ke galeri peribadi Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, mantan Naib Canselor USM yang terletak di Pusat Racun Negara, USM, semalam.
Para peserta yang terdiri daripada pensyarah pelbagai pusat pengajian USM dibawa melawat galeri tersebut untuk menyelami falsafah pemikiran dan pandangan Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak tentang kepentingan membaca, falsafah ilmu serta peranan industri buku untuk membina tamadun bangsa.
Galeri yang menempatkan pelbagai koleksi buku, manuskrip, catatan peribadi, barangan cenderahati, gambar dan dokumentasi tersebut mencerminkan perjalanan panjang Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam dunia akademik.
Antara yang menarik perhatian termasuklah buku rujukan klasik dan kontemporari dalam bidang pendidikan, falsafah dan pemikiran yang banyak membentuk gagasan idea beliau sepanjang menerajui universiti.

Menurut penganjur, Encik Norazam Ariffin, program ini diadakan bukan sahaja sebagai sesi lawatan, malah menjadi platform untuk menghidupkan kembali nilai budaya membaca di tengah masyarakat moden yang terlalu sibuk dengan kemajuan teknologi terutamanya Kecerdasan Buatan (AI).
Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam ucapannya menekankan bahawa usaha memperkukuh budaya membaca perlu diperluas ke seluruh lapisan masyarakat kerana budaya tersebut bukan sekadar amalan intelektual, malah merupakan akar nilai budaya yang membentuk jati diri bangsa untuk maju.
“Budaya membaca ialah warisan yang membentuk tamadun kita. Jika kita benar-benar ingin mengembalikan kekuatan masyarakat, kita mesti kembali kepada buku dan ilmu.
“Usaha sebegini perlu diteruskan dan diperluas agar generasi muda melihat membaca sebagai sebahagian daripada cara hidup mereka,” tegas beliau.
Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak mempunyai pengalaman luas menerajui beberapa universiti utama di Malaysia, termasuklah sebagai Naib Canselor USM dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kepimpinan beliau bukan sahaja memberikan tumpuan terhadap aspek pengurusan, malah turut menekankan aspek pengembangan budaya ilmu, keterlibatan masyarakat dan pemerkasaan tradisi membaca dalam kalangan warga universiti.
Lawatan ini membuka ruang wacana ringkas berkaitan dengan cabaran industri buku semasa dan cara industri ini dapat dikembangkan seiring dengan budaya membaca yang lestari.
Para peserta berpeluang bersoal jawab tentang koleksi dan catatan peribadi seorang tokoh akademik tersohor untuk dijadikan inspirasi dalam gerakan budaya ilmu dalam pembentukan masyarakat yang sejahtera.
Dengan inisiatif sebegini, budaya membaca tidak lagi dilihat sebagai aktiviti individu semata-mata, sebaliknya menjadi suatu ekosistem yang merentas institusi pendidikan, komuniti dan industri buku tempatan.