Diterbitkan pada 25 Oktober 2025, 12:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Program Remaja Santun anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dengan kerjasama Kolej Poli-Tech MARA menjadi wadah penting bagi membentuk pelajar yang beradab dan berhemah melalui penekanan terhadap penyemaian kesantunan bahasa serta nilai budi pekerti yang tinggi dalam kalangan generasi muda.

Bersempena dengan Karnival Lestari Bahasa, segmen ini menampilkan penyampai Radio Televisyen Malaysia (RTM), Encik Syairul Islam Basmullah sebagai pencetus semangat kepada pelajar untuk menjiwai erti kesantunan bahasa serta mengamalkannya agar menjadi budaya dalam kehidupan harian.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail menjelaskan bahawa masyarakat pada hari ini terdedah kepada pelbagai agenda dan pengaruh global melalui media sosial yang sering menjerumuskan individu kepada salah faham, pertengkaran, serta pelbagai gejala negatif yang membimbangkan.

“Usaha sedemikian perlu diambil berat dan diberi penekanan oleh semua pihak bagi memastikan masyarakat terus mengamalkan kesantunan serta nilai budi bahasa dalam kehidupan seharian,” ucap beliau dalam Program Remaja Santun  yang berlangsung di Pentas Utama, Dataran Mall, baru-baru ini.

Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail ketika menyampaikan ucapan dalam Program Remaja Santun sempena Karnival Lestari Bahasa di Pentas Utama, Dataran Mall, Kota Bharu.

Beliau menambah, remaja pada hari ini merupakan pewaris generasi masa hadapan yang bakal mencorakkan arah bangsa melalui pembinaan kesantunan akhlak yang mulia serta sikap beradab sopan sebagai langkah penting ke arah melahirkan masyarakat yang harmoni, berakhlak tinggi dan berperadaban.

Beliau turut memperlihatkan insiden yang berlaku di sekolah sejak kebelakangan ini jelas menunjukkan bahawa kesantunan bahasa  bukan lagi satu pilihan, malah keperluan penting yang harus dibudayakan oleh setiap warga pelajar.

Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, malah memantulkan akal budi dan nilai peribadi. Oleh itu, bahasa dan peribadi tidak dapat dipisahkan kerana tutur kata yang diungkapkan menjadi cerminan akhlak serta jati diri seseorang.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa DBP memainkan peranan penting sebagai institusi peneraju bagi membina bangsa beradab dan berjati diri melalui penghayatan bahasa, keindahan sastera serta penyebaran ilmu yang bermanfaat.

“Penubuhan DBP sebelum detik kemerdekaan (1956) jelas menunjukkan bahawa bahasa telah diangkat sebagai tonggak penting dalam pembinaan jati diri bangsa dan mengisi erti kemerdekaan Malaysia sejak tahun 1957.”

“Perjuangan ini termaktub dalam undang-undang negara, iaitu penghormatan terhadap bahasa Melayu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan lambang kedaulatan negara,” katanya lagi.

Untuk rekod, Karnival Lestari Bahasa Peringkat Negeri berlangsung selama tiga hari bermula pada 23 Oktober hingga 25 Oktober 2025 di Dataran Platinum Mall di Kota Bharu.

Program ini turut menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk “Kurik Kundi Merah Saga”; Dialog Kerjaya: Komunikasi Hebat Kerja Dapat; Dialog kerjaya; Pesona Bahasa; dan Bengkel Permotoran.

Encik Syairul Islam Basmullah berkongsi pandangan dan ilmu beliau mengenai kesantunan bahasa kepada peserta yang hadir.

 

Kredit Foto: Mohd Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi