Diterbitkan pada 11 November 2025, 09:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Singapura – Siri drama pendek Aku Ramlee menonjolkan identiti dan warisan negara Singapura sempena sambutan 60 tahun kemerdekaan negara itu, menerusi kisah seorang tukang kasut jalanan yang bergelut mempertahankan pekerjaan tradisinya.

Menurut pengarah dan penulis skrip, Adi Yadoni, berkata drama lima episod berdurasi dua minit setiap satu itu diterbitkan oleh Wahyu Rahman sebagai sebahagian daripada inisiatif Kempen SG60.

“Drama ini disokong oleh Infocomm Media Development Authority (IMDA) dan diterajui oleh Association of Independent Producers (AIPRO), bersama 150 projek video pendek lain yang merakam kisah masyarakat Singapura,” katanya dalam suatu kenyataan, baru-baru ini.

Adi Yadoni berkata, penerbitan drama tersebut menggunakan format menegak, khas untuk TikTok dan Instagram Reels, dan menggabungkan drama serta realisme magis bagi menyampaikan naratif puitis tentang rasa memiliki dan pencarian identiti.

Ujarnya, selari dengan tema SG60, iaitu “Belonging, Identity, and Legacy” siri tersebut memberikan penghormatan kepada pekerjaan tradisional yang semakin pupus sambil menghidupkan budaya Melayu menerusi muzik, fesyen dan seni penceritaan.

Adi Yadoni menambah, drama tersebut dirakam sepenuhnya menggunakan telefon pintar dan menggabungkan teknik penceritaan tradisional dengan inovasi digital.

“Pendekatan ini mencerminkan evolusi seni kreatif serta keberanian generasi muda meneroka medium baharu,” katanya lagi.

Terdahulu,  drama Aku Ramlee mengisahkan Sabarudin, seorang tukang kasut generasi ketiga yang berdepan cabaran mengekalkan kerjayanya. Kehidupannya berubah selepas dikunjungi seorang wanita misteri berbaju kebaya lama yang meminta kasutnya dibaiki.

Akhirnya, pertemuan semula  selepas seminggu kemudian, wanita itu muncul semula dalam lingkungan usia yang berbeza dengan memaksa Sabarudin mempertikai asal-usul dan makna warisan sebenar.

Antara barisan pelakon termasuklah Firdaus Juma’at, Fadhli Ramlee, Diyanah Permata, Hashimah Hamidon dan Megat Firdaus menjayakan drama sehingga menyentuh perasaan penonton muda mencari naratif berakar budaya membangkitkan nostalgia generasi lama.

Aku Ramlee  yang mula disiarkan pada 5 Oktober lalu, kini boleh ditonton di platform TikTok melalui pautan https://vt.tiktok.com/ZSURETrmY/,  manakala lagu asalnya “Hanya Kita Berdua” nyanyian Fadli Ramlee dan Nadhrah Roslan boleh didengari di ruangan Spotify.

Penulis bersama Pengarah Aku Ramlee, Adi Yadoni (tengah) dan Penerbit, Wahyu Rahman.
Kredit Foto: Adi Yadoni
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi