Diterbitkan pada 26 November 2025, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Forum Membaca yang berlangsung di Dewan Kolej Seroja, Universiti Teknologi MARA (UiTM) semalam dianjurkan sebagai platform bagi membincangkan tentang pemerkasaan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa dan warga universiti untuk menghadapi cabaran era digital.

Penganjuran forum ini diadakan bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) dengan tema “Membaca sebagai Teras Kepimpinan Intelektual Mahasiswa”.

Sesi wacana ilmiah ini dikendalikan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Encik Saifullizan Yahaya sebagai pemudah cara, manakala barisan ahli panel terdiri daripada Ketua Pustakawan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM, YBrs. Ts. Tuan Haji Azizi bin haji Jantan; Jurutera Perisian PETRONAS  dan pempengaruh, YBrs. Puan Nurqueen Sayang  Dinnie Wirakarnain dan Presiden Persatuan Booktube Malaysia, YBrs. Encik Mohammad Hafiz Abdul Latiff.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat DBP, matlamat penganjuran forum ini adalah untuk memperkasakan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa dan warga universiti selaras dengan aspirasi DMK 2021–2030, selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingannya sebagai asas ilmu, inovasi dan pembangunan modal insan.

Forum ini turut berperanan menghubungkan agenda DMK dengan perkembangan teknologi semasa seperti kecerdasan buatan (AI), media sosial dan sumber digital yang menjadi sebahagian daripada ekosistem pembelajaran universiti.

Oleh itu, forum ini berfungsi sebagai wadah strategik untuk memperkukuh budaya membaca dalam kalangan warga universiti selaras dengan aspirasi DMK 2021–2030 dengan memainkan peranan perpustakaan universiti sebagai pusat ilmu, penyelidikan dan inovasi bagi memastikan budaya membaca berkembang seiring dengan perubahan teknologi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi