Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan menyempurnakan pelancaran Traditional Textiles Exhibition 2025 di Muzium Budaya Sarawak.
Majlis pelancaran pameran berkenaan diadakan bersempena dengan penganjuran “Borneo International Textile Forum 2025 (BiTF2025)” yang berlangsung di Bandaraya Kuching selama dua hari, iaitu pada 7 dan 8 Disember 2025.
Pameran ini mempamerkan khazanah tekstil tradisional yang kaya dengan warisan budaya tempatan dan mencerminkan kepelbagaian seni kraf Nusantara, khususnya di rantau Borneo.
Selepas majlis pelancaran, baginda turut mencemar duli berangkat mengunjungi beberapa reruai di pameran tersebut termasuklah reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak yang turut menyertai pameran ini.
Hadir menyambut keberangkatan baginda ialah YB Dato’ Sri Haji Abdul Karim bin Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
Turut hadir ialah Puan Nancy binti Jolhi, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak dan Dr. Azizul bin Haji Ismail, Pengarah DBP Cawangan Sarawak.
Kehadiran Tengku Ampuan Pahang dalam majlis tersebut memberikan suntikan semangat terhadap usaha memartabatkan tekstil tradisional dan warisan budaya negara. Lawatan baginda turut menunjukkan komitmen diraja untuk menyokong pemeliharaan dan promosi seni warisan tempatan.
Forum tekstil antarabangsa ini membuka ruang kepada pertukaran ilmu dan pengalaman dalam bidang tekstil tradisional, khususnya yang berkaitan dengan rantau Borneo.
Pameran dan forum ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara warisan tekstil tradisional sebagai aset budaya negara yang tidak ternilai.