Diterbitkan pada 16 Januari 2026, 08:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menganjurkan Festival Titih Pusaka 2026 sebagai usaha strategik memperkukuh kesinambungan ilmu seni budaya tradisional serta memperluas kefahaman masyarakat terhadap warisan seni negara.

Festival seni budaya berskala besar itu berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Januari 2026 di ASWARA dan Padang Merbok, dengan sasaran kehadiran lebih 10 000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut penganjur, festival berkenaan dirangka sebagai platform penting yang bukan sahaja menampilkan kepelbagaian seni tradisional, malah mengangkat seni budaya sebagai medium pendidikan dan produk pelancongan bernilai tinggi.

Pelbagai pengisian yang boleh disertai secara percuma disusun sepanjang penganjuran festival, termasuklah pameran seni dan kraf tradisional, demonstrasi oleh tokoh seni dan adiguru, bengkel serta sesi masterclass, selain Pertandingan Dikir Barat Mega, forum dan wacana akademik.

Persembahan pentas turut melibatkan pelajar, alumni serta kumpulan kesenian profesional tempatan yang merangkumi disiplin tari, muzik, teater, animasi, penulisan, seni visual, sastera dan filem pendek, sekali gus memperlihatkan keluasan landskap seni di Malaysia serta potensi integrasi antara seni tradisi dengan kontemporari.

“Festival ini turut menjadi platform pengiktirafan kepada penggiat seni melalui penganugerahan Anugerah Bakat Muda Harapan Seni Tradisi Festival Titih Pusaka ASWARA 2026 dan Anugerah Pempengaruh Seni Tradisi Festival Titih Pusaka ASWARA 2026,” menurut kenyataan sama.

Selain itu, festival berkenaan turut membuka ruang kepada penggiat industri kreatif melalui penyertaan jualan produk seni, pelibatan reruai agensi kerajaan dan swasta termasuklah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta penyediaan 20 unit trak makanan yang menyajikan hidangan warisan.

Penganjuran Festival Titih Pusaka 2026 juga berperanan sebagai platform penyelidikan dan pemindahan ilmu melalui interaksi langsung antara pelajar, ahli akademik, adiguru serta tokoh seni tempatan dan antarabangsa.

“Secara keseluruhannya, Festival Titih Pusaka bukan sekadar acara hiburan, malah merupakan wadah penting dalam memelihara akar budaya bangsa,” tambahnya.

ASWARA dalam kenyataan yang sama menegaskan festival berkenaan menjadi jambatan antara generasi, seni rakyat dengan institusi, serta antara pencinta budaya dengan masyarakat umum demi memastikan warisan seni budaya Malaysia terus hidup dan relevan di pentas dunia moden.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi