Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Selaras dengan penerapan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia, Perpustakaan Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Ungku Aziz for Development Studies hari ini melancarkan program Telaah@UM Siri 1/2026 di Perpustakaan Peringatan Zaaba, UM.
Program ini merupakan inisiatif perkongsian ilmu yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan untuk memupuk budaya membaca, menelaah karya serta membudayakan ilmu pengetahuan secara proaktif dalam kalangan rakyat Malaysia.

Siri pertama pada tahun ini dimulakan dengan menelaah dua buah buku berkenaan dengan Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, iaitu Riwayat Ungku Aziz terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Royal Professor Ungku A. Aziz The Renaissanse Man terbitan Universiti Malaya Press.


Penerbitan kedua-dua buku ini amat istimewa kerana Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz merupakan Pengarah DBP yang pertama ketika diilhamkan penubuhan institusi tersebut pada tahun 1956, manakala Universiti Malaya Press pula merupakan penerbit yang diangkat oleh beliau menjadi penerbit yang terkemuka dan tersohor.
Penelaah yang diundang untuk siri pertama ini ialah YBrs. Profesor Dr. Zamri Radzi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM; serta dikendalikan oleh YBhg. Dato Kapten (B) Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Canselor Kolej Universiti Innovatif Malaysia dan Naib Canselor Universiti Malaya ke-8 selaku moderator.
Menurut Profesor Dr. Zamri Radzi, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz disifatkan sebagai seorang yang pakar dalam semua bidang (polymath) kerana ketokohan, sumbangan dan keilmuannya.
“Membaca karya Pak Ungku akan menumbuhkan dan memperkuat peribadi kerana beliau sering menegaskan bahawa kejayaan itu sesuatu yang dapat dilaksanakan dan sentiasa ada harapan untuk semua orang.
“Karya yang digarap oleh kedua-dua buku ini merupakan cerminan Pak Ungku secara menyeluruh, sama ada dari sudut budaya, keilmuan, seni, kemanusiaan, kenegaraan dan kebangsaannya,” katanya.
Tarikh 28 Januari dipilih sebagai pemula program ini bersempena dengan memperingati tarikh kelahiran Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz sebagai tokoh ilmuwan dan negarawan yang banyak menyumbang terhadap pembangunan ilmu dan pemikiran negara.
Turut hadir ialah YBhg. Tan Sri Datin Paduka Dr. Zeti Aktar Aziz; YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Hajah Omar, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UM, YBrs. Profesor Ir. Dr. Kaharudin Dimyati; barisan pengurusan UM, ahli akademik dan para pelajar.

