Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan mengusulkan agar seniwati veteran tanah air, YBhg. Dato’ Hajah Rosnani Jamil dianugerahkan gelaran Tokoh Perfileman Negara sebagai penghargaan atas jasa dan dedikasi beliau sepanjang pelibatan dalam industri kreatif negara.
Menurut beliau, cadangan pengiktirafan tertinggi itu akan dikemukakan secara rasmi ke Sidang Dewan Negara dalam masa terdekat. Perkara tersebut dinyatakan ketika beliau berucap dalam Majlis Tayangan Perdana Dokumentari Restorasi Filem Raja Melewar yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur, semalam.
YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan turut menzahirkan rasa kagum terhadap kecekalan YBhg. Dato’ Hajah Rosnani atau lebih dikenali sebagai Mak Nani yang terus aktif memperjuangkan martabat seni tanah air meskipun telah menjangkau usia 90 tahun. Beliau menyifatkan Mak Nani sebagai satu-satunya permata seni daripada generasinya yang masih konsisten dalam usaha mewariskan tamadun seni budaya kepada generasi muda.
Majlis tersebut turut mencatatkan kejayaan Mak Nani sebagai pelopor wanita pertama dalam projek restorasi filem sejarah menerusi kerjasama strategik bersama Kursi Institusi Raja-raja Melayu UiTM. Filem yang diberi nafas baharu itu merupakan karya arahan terbitan terakhir suaminya, Allahyarham Dato’ Jamil Sulong yang mengangkat naratif kedaulatan, serta sejarah perjuangan Raja Melewar.
Bagi memastikan nilai autentik dan ketepatan sejarah, Mak Nani telah melaksanakan proses rakaman suara semula dengan mengekalkan penggunaan dialek Minangkabau asli selaras dengan latar budaya dan sejarah naskhah berkenaan.
Menurut YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan, langkah tersebut amat penting bagi membantu pemahaman generasi muda Melayu yang menjadi tunjang alam Melayu sejak lebih seribu tahun lalu.
Selain cadangan pengiktirafan sebagai Tokoh Perfileman Negara, beliau turut menggariskan beberapa langkah strategik bagi memartabatkan industri perfileman tanah air melalui sokongan kerajaan. Antaranya termasuklah gesaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) agar menjadikan filem sejarah restorasi ini sebagai bahan bantuan mengajar wajib di institusi pendidikan tinggi.
Beliau juga mengemukakan permohonan agar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) meningkatkan peruntukan dana, serta sokongan kewangan bagi membantu kelangsungan penggiat seni veteran.
Selain itu, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dicadangkan untuk menyediakan kursus latihan khusus dalam bidang lakonan, penulisan skrip dan pengarahan filem bagi melahirkan pelapis seni yang berkualiti demi kelangsungan industri perfileman negara.

Sementara itu, seniwati veteran tanah air, YBhg. Dato’ Hajah Rosnani Jamil dalam ucaptamanya menzahirkan rasa kesyukuran, serta penghargaan kepada YBhg. Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim atas sokongan padu yang diberikan terhadap pelaksanaan projek restorasi filem Raja Melewar.
Menurut beliau, usaha menghidupkan semula filem arahan terakhir suaminya, Allahyarham Dato’ Jamil Sulong dilaksanakan dengan hasrat untuk memelihara khazanah perfileman negara agar terus kekal relevan dan dapat dijadikan tatapan, serta sumber penghayatan sejarah oleh generasi muda.

Presiden Persatuan Kebajikan Artis-artis Veteran Malaysia, Puan Sandakiah Aziz mendedahkan bahawa perancangan majlis tersebut telah dimulakan sejak bulan November tahun lalu dan turut melibatkan Mak Nani sebagai antara usaha penting bagi menjayakan projek filem berkenaan.
Beliau turut membangkitkan isu perbezaan tahap sambutan masyarakat terhadap penganjuran konsert popular berbanding dengan program penghargaan seni warisan, serta kebajikan artis veteran. Menurut beliau, fenomena ini wajar diberikan perhatian serius kerana mencerminkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kelestarian seni dan budaya negara.
Sehubungan dengan itu, Puan Sandakiah mencadangkan agar satu forum atau kongres dianjurkan bagi mengkaji faktor yang mendorong masyarakat sanggup membelanjakan jumlah wang yang besar untuk pembelian tiket konsert, namun kurang memberikan sokongan terhadap usaha memelihara dan melestarikan seni budaya warisan tanah air.

Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, YBhg. Dato’ Azman Ab. Yusof; Penasihat Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Dr. Azman Mahmood, serta barisan tokoh seni veteran tanah air.