Diterbitkan pada 11 Februari 2026, 16:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan Negeri Selangor menegaskan bahawa naratif kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya bersandarkan kepada mercu tanda fizikal semata-mata, sebaliknya menyeimbangi keutuhan jati diri dengan pembinaan jiwa bangsa.

Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan khazanah sastera dan keunikan budaya Melayu terus terpelihara dan diperkasakan melalui pewartaan warisan yang sistematik dan sokongan padu terhadap para penggiat seni tanah air.

Ahli Dewan Negeri Exco Perumahan dan kebudayaan Negeri Selangor, Yang Berhormat (YB) Datuk Borhan Aman Shah menyatakan bahawa usaha ini merupakan tanggungjawab yang besar bagi mengelakkan ketandusan budaya identiti dalam kalangan generasi muda pada masa ini.

Dalam majlis penutupan Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor 2026 yang berlangsung semalam, beliau telah memperincikan beberapa kejayaan  kerajaan negeri untuk menterjemahkan identiti negeri Selangor dalam bentuk pewartaan rasmi termasuklah pewartaan Baju Selangor bermotifkan Bunga Tanjung Kelopak Sembilan sebagai pakaian wajib kakitangan kerajaan pada setiap hari khamis.

Selain pewartaan Baju Selangor, pengiktirafan turut diberi kepada Sate Kajang dan Nasi Ambeng sebagai makanan warisan rasmi bagi mengukuhkan hak kebudayaan negeri. Kesenian tradisional seperti persembahan Cempuling dan permainan Wau Kapal turut diangkat semula dalam majlis rasmi bagi mengekalkan identiti unik negeri Selangor dalam arus kemodenan.

Visi pemerkasaan ini juga diperkukuh dengan pendedahan oleh YB Datuk Borhan Aman Shah tentang penemuan kira-kira 29 000 naskhah manuskrip purba di Narathiwat, Selatan Thailand yang mengarkibkan khazanah ilmu perubatan dan teknologi Alam Melayu.

Tambahnya, kewujudan ratusan al-Quran tulisan tangan dan manuskrip sejarah itu terbukti dengan kekuatan peradaban Nusantara yang perlu dipelajari semula oleh generasi kini bagi membina tahap keyakinan diri.

Bagi memastikan ekosistem sastera kekal relevan, beliau memberikan jaminan untuk membawa resolusi DASA 2026 dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk tindakan susulan.

Pada masa yang sama, YB Borhan Aman Shah telah merancang untuk memperkasakan Hadiah Sastera Selangor dan mewujudkan anugerah penulisan yang lebih komprehensif  dengan sokongan penuh daripada Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amirudin Shari bagi menghargai bakat baharu generasi muda.

Ahli Dewan Negeri Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor,YB Datuk Borhan Aman Shah ketika menyampaikan ucapan perasmian penutupan majlis DASA 2026.

Sementara itu, Pengerusi DASA 2026, yang juga merangkap Presiden KEMUDI, Encik Zainal Mohamad Jais menzahirkan harapan agar Shah Alam dapat diangkat sebagai pusat pertemuan para cendekiawan dunia melalui penganjuran dialog sastera secara berkala.

“Kami berharap DASA ini dapat dianjurkan secara dwitahunan supaya wacana tentang kemanusiaan, kenegaraan dan kesusasteraan dapat dilaksanakan dengan rancak di kota Shah Alam,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik termasuklah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Universiti Selangor (UNISEL), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta sukarelawan yang telah bertungkus-lumus bagi menjayakan acara yang berimpak.

 

Presiden KEMUDI, Encik Zainal Mohamad Jais ketika menyampaikan kata alu-aluan dalam majlis penutupan DASA 2026.

Majlis penutupan DASA 2026 ini turut dihadiri oleh Presiden GAPENA, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Borhan; Pengarah Wilayah Tengah DBP,  Puan Nurul Julia Alani Henry serta barisan urusetia DASA 2026.

Kredit Foto: Muhammad Shafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi