Diterbitkan pada 4 Mac 2026, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) bakal menganjurkan Majlis PraPelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 bersama-sama dengan pemain industri perbukuan Malaysia.

Menurut kenyataan media oleh MBKM hari ini, majlis ini akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek sebagai tanda komitmen KPM dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan pemain industri buku negara.

Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penerbit, penulis, pengedar, pencetak serta wakil institusi pendidikan sebagai usaha untuk memantapkan ekosistem buku negara selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Dalam kenyataan yang sama, MBKM turut memaklumkan bahawa PBAKL 2026 yang bertemakan “Malaysia Membaca: Merayakan Buku”, akan berlangsung pada 29 Mei hingga 7 Jun 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Pada tahun ini, sebanyak 1210 reruai akan disediakan untuk memberi peluang pameran yang lebih luas kepada penggiat industri perbukuan tempatan dan antarabangsa dalam mempamerkan karya terkini mereka serta merangsang pertumbuhan ekonomi sektor perbukuan.

Bagi memeriahkan PBAKL 2026, Arab Saudi telah dipilih sebagai Negara Fokus untuk memperkenalkan kecemerlangan bahan penerbitan negara tersebut, manakala Pahang sebagai Negeri Tamu akan memperkenalkan kecemerlangan literasi serta warisan budaya negeri tersebut melalui pameran khas.

PBAKL pada tahun ini akan turut menampilkan wakil-wakil dari kerajaan, iaitu pavilion KPM, Kementerian Perpaduan Malaysia dan Baitul Hikmah MADANI untuk mempamerkan sokongan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan. PERKESO pula hadir sebagai Agensi Tamu untuk memperkenalkan perlindungan sosial dan pembangunan intelektual masyarakat.

Selain itu, program ASIAN Rights Fair (ARF) memberi fokus kepada pemerkasaan hak cipta bagi mengkomersialkan karya Malaysia ke peringkat antarabangsa. Terdapat juga Galeri Buku Kegemaran Pemimpin MADANI yang menampilkan bahan bacaan pilihan pemimpin sebagai inspirasi kepada pengunjung.

PBAKL 2026 disemarakkan lagi dengan aktiviti literasi generasi muda yang dipacu melalui Festival Sastera Kanak-Kanak, Festival Kata dan program kepimpinan bagi pustakawan cilik Malaysia Innovative Futuristic Library Academia Junior (MIFLA Junior) bagi membina kepimpinan literasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar.

Tiga lokasi utama, iaitu Pentas Utama, Dewan Merdeka dan Dewan Tun Razak 3 akan menjadi pusat pelbagai persembahan seni, dialog intelektual dan aktiviti pembacaan buku yang inklusif untuk semua pengunjung.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi