Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Masyarakat Tionghoa menzahirkan rasa bangga dan terharu atas keprihatinan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang sudi berangkat menyantuni mereka sempena Majlis Sambutan Chap Goh Meh di pekarangan parkir Ten Ten, semalam.
Kunjungan mesra baginda jelas memperkukuh ikatan antara pihak istana dengan rakyat pelbagai kaum di negeri tersebut.
Demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling yang menyatakan penganjuran sambutan tersebut bukan sekadar acara rasmi, sebaliknya menjadi lambang kebersamaan erat antara institusi Raja yang disayangi, kepimpinan negeri, agensi kerajaan dengan rakyat negeri Perlis.
Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, Ketua Polis Perlis, DCP Datuk Muhammad Abdul Halim, dan Tan Heng Teong.
Majlis anjuran Persatuan Chenshi Taichi dan Seni Mempertahankan Diri Perlis itu diadakan sebagai wadah menyemarakkan sambutan Chap Goh Meh di samping memperkukuh jalinan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Gan Ay Ling turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pimpinan Negeri Perlis yang sentiasa mempamerkan semangat muafakat dan kesatuan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.

“Inilah wajah sebenar Perlis, sebuah negeri yang harmoni dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” ujar beliau sambil menyeru agar semangat perpaduan terus diperkasakan demi memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara inklusif, mampan dan berkesan.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dengan menggaul ‘Lao Shang’ sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh perpaduan masyarakat.
Majlis sambutan itu diserikan dengan pelbagai persembahan menarik antaranya persembahan pancaragam, tarian bunga klasik tradisional Cina, persembahan Chenshi Taichi, serta persembahan gendang Ethereal.
Sambutan yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni ini jelas mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di negeri Perlis, selaras dengan aspirasi untuk terus memupuk kesejahteraan serta kemakmuran bersama.