Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan satu kajian untuk mengukur tahap perpaduan rakyat Malaysia, iaitu Indeks Perpaduan Nasional 2025 (IPNas 2025).
Indeks ini diukur berdasarkan tiga konsep utama, iaitu perpaduan yang diidamkan, kesepaduan yang dicapai dan penyatupaduan yang diusahakan.
Menurut Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Perpaduan Negara, YBrs. Encik Zahed Saidin, ketika ditemu ramah di Nasional FM pada 25 Februari lalu menyatakan bahawa selepas tiga kali kajian IPNas dilaksanakan, Kementerian Perpaduan Negara mendapati bahawa dapatan indeks perpaduan meningkat dari tahun ke tahun.
“Perpaduan ini penting bagi rakyat sesebuah negara kerana nilai ini menjadi asas kepada pembangunan negara. Melalui indeks tersebut, perpaduan negara akan lebih stabil, dan dengan kestabilan negara kita dapat membangun dengan baik. Jika sebaliknya yang terjadi, kita tidak dapat bayangkan apa yang berlaku dan bagaimana kemajuan boleh capai,” ujar beliau lagi.
Hasil daripada kajian IPNas, Kementerian Perpaduan Negara dapat menyediakan empat faktor untuk mencapai perpaduan, iaitu tadbir urus dan pembangunan negara, tahap keetnikan, etos nasional serta hubungan sosial rentas etnik.
Dalam dapatan kajian tersebut, Pahang, Melaka, Sarawak dan Terengganu dikategorikan sebagai negeri yang boleh menjadi contoh amalan terbaik dalam menggabungkan pembangunan dengan perpaduan apabila nilai skor setiap negeri melebihi skor nasional, iaitu 0.701 pada tahun lalu. Keempat-empat negeri tersebut menjadi negeri berprestasi tinggi dan menjadi pusat rujukan berkaitan dengan perpaduan pada kajian yang akan datang.
Berdasarkan rekod terdahulu, IPNas telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Perpaduan Negara sejak 2018, 2022 dan terkini dilaksanakan pada tahun 2025.