Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Karya teater Randai Macbeth terus memperluas jangkauan apabila bakal dipentaskan di Esplanade, Singapura bersempena dengan Pesta Raya Malay Festival of Arts pada 16 April 2026 hingga 19 April 2026.
Pementasan ini bukan sahaja mencerminkan kejayaan produksi tersebut di pentas tempatan, malah menandakan keupayaan teater tradisional untuk berinteraksi dalam ruang seni antarabangsa yang lebih rencam.
Sejak pementasan awalnya pada tahun 2024, Randai Macbeth telah memperlihatkan sambutan yang memberangsangkan dengan kehadiran penonton yang pelbagai, terdiri daripada para pelajar sehingga penggiat seni.
Produksi ini turut mendapat perhatian pengkritik dan penulis budaya seperti Ku Seman Ku Hussain dan Zahari Hamzah, selain menerima pengiktirafan besar apabila meraih tujuh anugerah dalam 20th BOH Cameronian Arts Awards, termasuklah kategori Produksi Terbaik.
Menurut pelakon utamanya, Che Kem, kekuatan utama produksi ini terletak pada keberanian menggabungkan bentuk randai – yang berakar daripada tradisi Nusantara –dengan teks klasik, Macbeth karya William Shakespeare.
Di bawah pengarahan Profesor Madya Dr. Norzizi Zulkifli, karya tersebut diolah sehingga tidak lagi sekadar berfungsi sebagai adaptasi, tetapi tampil sebagai sebuah naratif yang beridentitikan tempatan.
“Apabila menontonnya, tidak dirasakan Shakespeare-nya. Teater tersebut hadir dengan jiwa Melayu dan Nusantara yang kuat, seolah-olah sebuah cerita Melayu,” ujar beliau, menggambarkan pendekatan kreatif yang diambil dalam produksi ini.
Pendekatan tersebut menjadikan Randai Macbeth tidak sekadar memindahkan teks Barat ke pentas tempatan, malah mencipta pengalaman baharu yang menekankan bahasa tubuh, emosi dan dialog yang bertunjangkan budaya Melayu.
“Sebagai pelakon, saya tercabar untuk menjadikan watak ini benar-benar bernafas dalam cita rasa Melayu, sehingga dialognya tidak kedengaran seperti teks klasik Barat,” tambahnya.
Pementasan di Singapura pula dijangka membuka ruang pertemuan budaya yang lebih luas. Khalayak di kota tersebut, yang sedia terdedah kepada pelbagai bentuk kesenian, khususnya yang bersifat eksperimental dan lintas budaya, diyakini dapat menerima gabungan randai dan tragedi klasik ini sebagai suatu pengalaman estetik yang segar.
Pada masa yang sama, kehadiran produksi ini di pentas antarabangsa turut memperkukuh jaringan seni antara Malaysia dengan Singapura.
Che Kem turut melihat perkembangan ini sebagai petanda bahawa teater tradisional masih mempunyai tempat yang signifikan dalam landskap seni semasa.
“Kesenian tradisional bukan sesuatu yang lapuk, malah pernah popular dan relevan, dan hari ini kita berusaha meletakkannya semula dalam masyarakat melalui pendekatan yang sesuai dengan selera masa ini,” katanya.
Dalam kerangka yang lebih besar, perkembangan ini mencerminkan usaha berterusan untuk mengangkat semula teater tradisional dalam arus perdana. Kolaborasi rentas negara, menurut beliau, merupakan langkah penting untuk memperkukuh identiti budaya serantau.
“Jika usaha ini digerakkan secara kolektif, saya yakin Nusantara mampu tampil sebagai rantau yang progresif tanpa meninggalkan akar tradisi,” jelasnya lagi.
Selepas pementasan di Singapura, Randai Macbeth dijadualkan untuk dipentaskan semula di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 8 Mei 2026 hingga 10 Mei 2026 sebelum meneruskan jelajah ke Kazan, Rusia pada 13 Jun 2026 hingga 18 Jun 2026.
Perjalanan ini memperlihatkan bagaimana sebuah karya yang berakar pada tradisi tempatan mampu bergerak merentas sempadan, sekali gus menegaskan bahawa warisan budaya tidak pernah statik, malah sentiasa hidup dan berkembang mengikut zaman.