Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – “Berdasarkan dapatan kajian profil membaca rakyat Malaysia tahun 2022 hingga tahun 2023, majoriti rakyat Malaysia mengamalkan tabiat membaca, iaitu sebanyak 88.6 peratus, sekali gus mencerminkan perkembangan positif dalam pembudayaan ilmu negara.”
Demikian ucapan perasmian yang telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari bagi program Forum Kepustakaan bertemakan Buku dan Hak Cipta Sebagai Teras Kelestarian Ilmu dalam Era Digital yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa walaupun majoriti rakyat Malaysia menunjukkan kecenderungan membaca, masih terdapat 11.4 peratus yang belum menjadikan amalan tersebut sebagai rutin harian, sekali gus menuntut komitmen berterusan daripada semua pihak untuk meningkatkan tahap literasi negara.
Menurut beliau, penganjuran forum ini bertepatan dengan pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2021–2030 yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membaca menjelang tahun 2030.
Inisiatif tersebut bukan sahaja menyasarkan golongan pelajar, malah merangkumi semua lapisan masyarakat agar budaya membaca dapat diperkasakan secara menyeluruh dan berterusan.
Beliau menyatakan bahawa forum berkenaan turut menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap peranan buku serta kepentingan perlindungan hak cipta sebagai asas kepada kelestarian ilmu.

Pada masa yang sama, Puan Fauzilahyatun turut menekankan kepentingan pengintegrasian teknologi dan inovasi, termasuklah kecerdasan buatan (AI), dalam memperluas capaian ilmu tanpa menjejaskan nilai dan integriti karya.
Pendekatan ini dilihat mampu menyokong usaha DBP sebagai peneraju dalam transformasi digital bahasa dan sastera Melayu secara seimbang dan bertanggungjawab.
Forum yang diadakan dengan kerjasama pelbagai agensi yang menjadi rakan sinergi, termasuklah DBP Wilayah Utara, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) ini turut menjadi ruang wacana strategik dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan literasi maklumat dan budaya ilmu.
Beliau menyeru semua pihak agar terus menyokong usaha memperluas budaya membaca dan menjadikan amalan tersebut sebagai gaya hidup, selaras dengan aspirasi melahirkan masyarakat berpengetahuan, kritis dan berdaya saing pada peringkat global.
Program diteruskan dengan sesi forum yang dikendalikan oleh pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam dari Politeknik Ungku Omar, YBrs. Encik Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub sebagai moderator, bersama-sama dua orang ahli panel yang berwibawa, iaitu Pengarah Bahagian Hak Cipta MyIPO, YBrs. Encik Noor Aliff Musa dan Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Sumber Pendidikan (UPSP), Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri Perak, YBrs. Encik Shairiman Badzri.
Turut hadir di dalam majlis ialah Penolong Pustakawan PPANPk mewakili Pengarah PPANPk, YBrs. Dr Rafidah Abdul Aziz, YBrs. Encik Amirul Aizat Mohd Sapian; Pengarah Perkhidmatan Korporat Perpustakaan Negara Malaysia, YBrs. Encik Mohd Azmi Aziz dan Pengarah DBP Wilayah Utara, YBrs. Encik Sharul Rizal Hashim.