Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Pementasan Menempa Tari Tradisi 2026 di Kota Kayangan yang berlangsung dengan penuh gemilang di Auditorium JKKN Negeri Perlis pada 24 dan 25 April 2026 bukan sahaja menampilkan kepelbagaian tarian tradisional Malaysia, malah mengangkat tiga tokoh seni tempatan sebagai nadi utama persembahan.
Tiga tokoh seni yang diiktiraf sebagai warisan budaya hidup tersebut ialah Encik Romli bin Mahamud (tokoh Awang Batil), Encik Zahir Mozni bin Osman (Tokoh Tari Tradisional Melayu) dan Encik Khairul Hakimin bin Abdul Rahman (Pakar Muzik Terinai).
Kehadiran mereka bukan sekadar memeriahkan pentas, malah menjadi jambatan ilmu antara generasi lama dengan generasi baharu dalam usaha memastikan kesinambungan seni tradisi terus terpelihara.
Ketiga-tiga tokoh ini tampil dalam segmen “Adiguru”, iaitu segmen pembukaan yang sarat dengan simbolisme penghormatan kepada guru sebagai sumber ilmu.

Pemilihan negeri Perlis sebagai lokasi keempat pementasan selepas Kuala Lumpur (2022), Sabah (2023) dan Sarawak (2024) bukanlah suatu kebetulan.
Negeri yang dikenali sebagai Kota Kayangan ini memiliki khazanah budaya yang unik dan jarang dipersembahkan di pentas berskala besar, antaranya termasuklah seni penceritaan Awang Batil dan tarian Terinai yang sarat dengan nilai estetika serta falsafah tradisi.
Melalui pementasan ini, usaha mempertemukan masyarakat dengan seni warisan diperkukuh menerusi kolaborasi strategik bersama-sama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perlis, Pusat Kebudayaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta Kelab Kebudayaan Indera Tari.
Inisiatif ini turut membuka ruang kepada pelibatan komuniti seni tempatan dalam usaha memperkasa ekosistem budaya negeri.
Lebih bermakna, pementasan ini turut menjadi wadah kepulangan anak jati Perlis, Zulkarnain Zuber yang kini merupakan penari dan koreografer bersama ASK Dance Company.
Kepulangannya ke tanah kelahiran diibaratkan bagai sirih pulang ke gagang, membawa bersama pengalaman dan ilmu untuk dikongsi dengan generasi baharu serta rakan seperjuangan yang pernah membentuk perjalanan seninya.
Persembahan dimulakan dengan penceritaan Awang Batil yang menghidupkan suasana tradisional, diikuti alunan muzik Terinai yang mendayu serta tarian Terinai Mengadap yang memukau.
Keseluruhan segmen ini membentuk pengalaman imersif yang mengajak penonton menyelami kehalusan seni warisan Melayu.
Pemilihan tokoh tempatan juga selari dengan konsep di Kota Kayangan yang menekankan kekuatan identiti budaya setempat.
Pendekatan ini bukan sahaja memastikan persembahan lebih autentik dan berakar pada tradisi, malah memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada penggiat seni Perlis yang telah lama berbakti dalam bidang kebudayaan.
Menurut Imran Syafiq, Pengarah Urusan ASK Dance Company selaku penganjur program, pembangunan karya ini bermula seawal Disember 2025 melalui proses pencernaan idea dan konsep, diikuti perbincangan kolaboratif pada Januari 2026.
Tambahnya lagi, latihan intensif bermula pada Mac 2026, sebelum latihan gabungan bersama-sama tokoh seni dan rakan kolaborasi dijalankan beberapa hari menjelang pementasan.

Pementasan ini mendapat sokongan padu daripada Yayasan Hasanah dan Yayasan Sime Darby sebagai penaja utama, manakala JKKN Negeri Perlis bertindak sebagai rakan kerjasama ruang persembahan. Pusat Kebudayaan UniMAP serta Kelab Kebudayaan Indera Tari pula memainkan peranan penting sebagai rakan kolaborasi.
Pada malam kemuncak, majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Abu Bakar bin Hamzah serta barisan tetamu kehormat lain, termasuklah wakil kerajaan negeri dan agensi kebudayaan, yang bersama-sama memeriahkan acara tersebut.
Secara keseluruhannya, Menempa Tari Tradisi di Kota Kayangan bukan sekadar sebuah pementasan seni, malah menjadi manifestasi usaha berterusan untuk melestarikan warisan budaya negara.
Pementasan ini membuktikan bahawa seni tradisi bukan sekadar tinggalan masa lalu, sebaliknya terus hidup dan berkembang sebagai identiti bangsa yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.