Diterbitkan pada 10 Mei 2026, 06:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

Seberang Takir – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan  Pustaka (DBP) Ke-70, Persatuan Sasterawan Terengganu dan DBP Wilayah Timur telah mementaskan sebuah teater puisi berjudul Penyu Menangis Siapalah Tahu bagi mengenang jasa dan perjuangan tokoh penyair laut terkenal, allahyarham Abdul Aziz Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan gelaran J.M. Aziz.

Pengarah dan Penulis Skrip Teater Penyu Menangis Siapalah Tahu, Encik Abdul Mubin Ismail menyatakan bahawa naskhah ini mengimbas kembali perjalanan hidup J.M. Aziz yang melalui pelbagai kesulitan sehingga beliau meninggal dunia pada 15 Mac 2002.

Penceritaan ini memfokuskan pada konflik dalaman dan keperitan hidup beliau setelah diserang penyakit kusta yang menyebabkan beliau buta, cacat anggota dan tidak mampu berjalan.

Antara aspek utama yang diangkat dalam teater ini termasuklah semangat luar biasa J.M. Aziz dalam dunia penulisan. Menurut Encik Abdul Mubin Ismail, meskipun dalam keadaan fizikal yang sangat terbatas, beliau terbukti lebih prolifik atau aktif menghasilkan karya berbanding dengan sebelumnya.

“Kita ingin melihat bagaimana pengorbanan seorang penyair yang dalam keadaan fizikal yang terbatas tetap terus menulis. Walaupun tidak boleh menulis atau menaip sendiri, dan memerlukan bantuan keluarga untuk memindahkannya, beliau tetap meneruskan kerja berkarya hingga akhir hayat,” jelas beliau ketika ditemu ramah oleh editor JendelaDBP.

Menurutnya lagi, pementasan ini juga ingin menonjolkan ketekunan dan ketabahan allahyarham J.M. Aziz mengharungi cubaan atas minat mendalam yang dianugerahkan tuhan meskipun dalam seribu kepayahan.

Mengulas mengenai tajuk teater, Encik Abdul Mubin menjelaskan bahawa “Penyu” digunakan sebagai metafora besar terhadap diri penyair itu sendiri. Sebagaimana penyu yang menangis di dalam laut tanpa disedari sesiapa, begitulah perlambangan penderitaan J.M. Aziz yang jarang diketahui oleh masyarakat.

Beliau turut mendedahkan bahawa singkatan nama J.M. Aziz diangkat sebagai tema utama, iaitu “Jiwa Merana Aziz”, menggambarkan kesedihan dan perjuangan batin yang dialami oleh tokoh tersebut.

 

Pengarah dan Penulis Skrip Teater Penyu Menangis Siapalah Tahu, Encik Abdul Mubin Ismail.

Pementasan ini turut menggabungkan pelbagai elemen seni yang dilengkapkan dengan monolog, dialog, deklamasi puisi, syair, gurindam dan lagu daripada lirik nukilan beliau sendiri.

Melalui watak isterinya, Puan Lijah Daud, penonton dapat melihat pengorbanan isterinya menggalas tanggungjawab sebagai ketua rumah dan menjadi tulang belakang yang membolehkan J.M. Aziz terus berkarya hingga nafas terakhir.

Pementasan ini menampilkan pelakon istimewa, Wan Hanafi Su sebagai pencerita utama dan dibantu oleh barisan pelakon daripada Persatuan Sasterawan Terengganu, serta tokoh teater tamu dari Terengganu.

Wan Hanafi Su sebagai tukang cerita Teater Penyu Menangis Siapalah Tahu.
Kredit Foto: Muhammad Shafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi