Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerinduan peminat terhadap rangkaian lagu malar segar kumpulan Umbrella bakal terubat apabila kumpulan itu mengumumkan pementasan Konsert Seribu Rahmat Umbrella yang dijadualkan berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, 8 Jun ini.
Konsert yang menggabungkan tiga generasi seni itu turut membariskan penyanyi tersohor, Zamani Slam serta kumpulan popular masa kini, Floor 88.
Vokalis Umbrella, Zarul Husin berkata, pemilihan UUM sebagai lokasi konsert bukan sekadar rawak, sebaliknya didorong oleh faktor peribadi selain misi membawa persembahan bertaraf tinggi ke luar dari ibu kota.
“Ini merupakan penampilan sulung Umbrella mengadakan konsert di UUM. Hubungan ini terjalin secara unik memandangkan pemain bass kami sendiri merupakan kakitangan di universiti tersebut.
“Selain itu, kami mahu memecah tradisi dengan membuktikan bahawa konsert berskala besar dan berkualiti tinggi tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur, malah boleh dinikmati oleh peminat di wilayah utara,” katanya kepada Dewan Budaya, baru-baru ini.
Mengulas mengenai pengisian konsert, Zarul menjelaskan sebanyak 13 buah lagu daripada album Seribu Rahmat dan Hujan Panas bakal dipersembahkan buat tatapan penonton.
“Konsert ini akan menjadi momen istimewa yang merangkumkan jatuh bangun perjalanan seni kami sepanjang tiga dekad,” ujarnya.
Menariknya, konsert kali ini turut menyuntik elemen moden menerusi penggunaan teknologi Janaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam paparan video khas di sebalik tabir kumpulan tersebut.
Tambah Zarul, pihaknya mahu penonton merasai satu ‘perjalanan’ emosi menerusi pemilihan lagu yang cukup dekat di hati peminat tegar mereka.
“Selain lagu-lagu hit, kemungkinan besar kami akan menyelitkan karya daripada album Payung Sakti serta persembahan solo saya sendiri.
“Ini adalah hadiah istimewa buat mereka yang setia menyokong Umbrella sejak awal 90-an,” katanya lagi.
Satu lagi kejutan yang dinantikan adalah segmen kolaborasi apabila Umbrella dan Zamani bakal berkongsi pentas buat julung kalinya.
Mereka akan tampil dalam satu susunan muzik istimewa menerusi rangkaian lagu popular secara medleyhasil sentuhan komposer tersohor, Dr. Azmeer.
Pentas Konsert Seribu Rahmat Umbrella dijangka bergema selama lebih dua jam setengah dengan rangkaian 20 buah lagu hit, sekali gus merancakkan lagi ekonomi kreatif di wilayah utara dengan penglibatan lebih 150 petugas tempatan.