Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Sebuah teater berjudul Culik karya Walid Ali yang diterbitkan pada tahun 2012 dan bakal diarahkan oleh Ard Omar akan menemui warga Ipoh pada 23 dan 24 Mei 2026 di studio Insider Satellite, Ipoh.
Dalam satu kenyataan media, Ard Omar berkata naskhah berkonsepkan komedi tragedi ini berkisahkan tentang ikhtiar hidup dalam tekanan ekonomi yang meruncing di mana dua sahabat mengambil jalan salah dengan menculik seorang anak hartawan.
Perjalanan cerita menjadi semakin sukar kerana timbul satu persatu masalah ketika penculik sedang berurusan untuk mendapatkan tebusan sehingga berlaku kemalangan yang tidak terduga; mangsa culik mati ketika masih dalam tahanan. Klimaks naskah ini menjadi tragedi yang makin memburuk dan penghujungnya mengakibatkan bencana kepada penculik.
“Teater ini memfokuskan pada pedoman dan teladan yang mengangkat elemen keluarga, kasih sayang serta kemanusiaan dalam bentuk hiburan dengan penuh unsur komedi, sedih dan kepelbagaian emosi,” ujar beliau.
Ujarnya, sebagai sebuah NGO teater yang aktif, Persatuan Seniman Teater dan Teknikal Pentas Perak atau lebih dikenali sebagai STEPS memilih studio Insider Satellite untuk mementaskan teater ini di luar auditorium untuk menarik minat masyarakat dan dapat dinikmati oleh semua.
“Jika di JKKN ruangnya lebih besar, boleh memuatkan lebih 300 penonton dan agak berprotokol, jadi sekarang ini kita cari ruang yang lebih kecil berkonsepkan black box dan lebih dekat dengan masyarakat. Ya, merakyatkan teater.”
“Tambah-tambah lagi (dapat mendekati) komuniti-komuniti baru seperti muzik. Tambahan lagi Ipoh ialah salah satu bandar yang meraikan budaya hipster contohnya, jadi alangkah eloknya kesenian itu kita gabungkan sekali,” katanya lagi.
Teater Culik yang bakal dipentaskan di Ipoh ini diterbitkan oleh Persatuan Kebudayaan Daerah Larut Matang Selama dengan STEPS dan Pertubuhan Pendidikan Inspirasi Sosial Ipoh Inspire Ipoh.
Pementasan ini akan bermula pada pukul 8.45 malam dengan bayaran tiket sebanyak RM15 dan RM30 (eksklusif). Sebarang pertanyaan mengenai teater dan pembelian tiket boleh berhubung dengan talian 017-255 8059 (Aini Ismail).

Pada Februari lalu, STEPS telah menganjurkan Panggung Kotak 4.0 yang memuatkan enam naskhah teater arahan Ard Omar karya Yusof Bakar berkonsepkan black box di hadapan Studio SYJ Pasar Besar Ipoh. Produksi yang turut mendapat kerjasama Persatuan Peniaga Kreatif Pasar Besar Ipoh tersebut buat julung kalinya dipentaskan di dalam pasar dan menggamit kehadiran penonton yang memberangsangkan.
Ard Omar atau nama sebenar Muhammad Azhahar Omar adalah seorang Pengarah, Pelakon, Sinografer, Penulis Skrip serta Jurulatih Lakon dan juga Tenaga Pengajar Teater yang telah terlibat lebih 25 tahun dalam bidang teater serta seni budaya.

Kemudian mula menjuruskan diri sebagai karier sepenuh masa dalam seni persembahan teater selama 20 tahun dan amat bergiat aktif di Perak, Kuala Lumpur serta Pulau Pinang sehingga kini.