Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menggesa orang ramai supaya menghentikan perkongsian kandungan cetak rompak di media sosial dan platform digital kerana kegiatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang hak cipta, malah memberikan kesan besar terhadap pembangunan industri kreatif negara.
FINAS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perkembangan media sosial dan platform digital ketika ini menyaksikan peningkatan perkongsian kandungan filem tanpa kebenaran, termasuklah rakaman di pawagam serta penstriman tidak sah yang dikategorikan sebagai cetak rompak digital.
Menurut FINAS, perbuatan merakam, memuat naik atau berkongsi kandungan filem tanpa kebenaran merupakan suatu kesalahan yang boleh menjejaskan pendapatan penggiat industri kreatif, serta mengganggu ekosistem perfileman negara.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib berkata, masih banyak masyarakat yang menganggap perkongsian kandungan filem di media sosial atau penggunaan aplikasi dan pautan tidak sah sebagai perkara biasa tanpa menyedari implikasi undang-undang dan keselamatan yang wujud.
“Banyak yang menganggap perkongsian kandungan filem di media sosial atau akses melalui aplikasi dan pautan tidak sah sebagai perkara biasa, sedangkan tindakan tersebut bukan sahaja melanggar hak cipta, malah boleh mendedahkan pengguna kepada risiko keselamatan siber dan penyalahgunaan data peribadi.
“Pengguna juga memainkan peranan penting untuk membendung cetak rompak digital dengan memilih platform yang sah serta mengelakkan perkongsian atau akses kepada kandungan melalui saluran tidak sah, khususnya di media sosial,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti cetak rompak digital memberikan kesan langsung kepada pendapatan penggiat industri, peluang pekerjaan, pelaburan dan usaha pembangunan industri kreatif tempatan.
Katanya, penghasilan sesebuah karya kreatif memerlukan kos yang tinggi, tenaga kerja mahir dan komitmen daripada pelbagai pihak, justeru kegiatan cetak rompak hanya akan merugikan industri secara keseluruhan.
Dalam pada itu, FINAS terus memperkukuh kerjasama strategik bersama-sama pemain industri, platform digital dan beberapa agensi berkaitan termasuklah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), CyberSecurity Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kerjasama tersebut dilaksanakan menerusi pelbagai program kesedaran dan advokasi digital bagi mendidik masyarakat tentang bahaya cetak rompak digital, serta kepentingan menggunakan saluran sah untuk menikmati kandungan kreatif.
FINAS turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan cetak rompak kepada agensi itu melalui e-mel [email protected] bagi membantu usaha penguatkuasaan dan pemeliharaan hak cipta negara.