Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melancarkan sebuah buku baharu berjudul Layar Karang Muzikal Si Tenggang karya YBhg. Sasterawan Negara (SN), Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Majlis pelancaran buku tersebut telah disempurnakan oleh seniman veteran tanah air, YBhg. Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.
Dalam ucapan perasmian, Dato’ Tamimi Siregar menyatakan bahawa ekosistem seni tanah air ketika ini berhadapan dengan kekangan dokumentasi dan kajian yang mendalam dalam genre tersebut.
“Di Malaysia, tidak banyak kajian dan perbincangan yang dilakukan berkaitan dengan ciri dan kepelbagaian bentuk teater muzikal serta perkembangannya. Maka itu, berlaku sedikit kecelaruan oleh penonton, penggiat seni teater dan ahli akademik tentang terma yang dapat mendefinisikan teater muzikal,” ujar beliau.
Beliau turut menyentuh tentang kecenderungan industri yang meletakkan elemen lagu sekadar syarat pelengkap, tanpa mendalami fungsinya yang sebenar.
“Inti pati kandungan dan penggunaan lagu dramatik dalam sesebuah teater muzikal Melayu tidak pernah diberi penekanan menerusi kepentingan, peranan dan fungsinya sedangkan lagu dramatik sebagai pembawa cerita dan mesej adalah tunjang utama dalam sesebuah persembahan,” jelasnya.
“Malaysia memerlukan lebih banyak skrip drama berkonsepkan muzikal agar setiap gagasan cerita dapat dinikmati secara santai dan berkesan kerana dalam pengutaraan konflik cerita, ada dendangan nyanyian dan iringan irama yang memudahkannya diserap dan dihayati. Oleh hal yang demikian, teater muzikal dapat menggabungkan peranan pemuzik, penyanyi, pelakon dan penari untuk bersama-sama di atas pentas untuk menjayakan sesebuah cerita,” tambah beliau.

Sementara itu, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan turut berkongsi evolusi kreatif serta pengalaman seni beliau sepanjang menghasilkan 11 karya drama naskhah terbaharu, antaranya termasuklah adaptasi bebas novel Taras Bulba (Anton Chekhov) yang baru dilancarkan.
Selain mengimbas eksperimen seni unik seperti Bangsawan Helah Behena yang berdialog pantun sepenuhnya, monodrama Kuwait dan Rumah Septuagenerian, beliau turut merakam nostalgia kejayaan pementasan terdahulu, misalnya Orang-orang Kecil; Yang Menjelma dan Menghilang, serta drama popular Pulang dengan harapan siri naskhah ini dapat membuka ruang seluas-luasnya kepada para penggiat seni teater tanah air.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Puan Fauzilahyatun Mustafa dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa karya berkonsepkan teater muzikal ini menampilkan sesuatu kelainan besar apabila memodenkan mitos tradisi kisah Si Tenggang dalam situasi pascatsunami.
“Jika sebelum ini masyarakat mengenali Si Tenggang sebagai symbol penderhakaan kepada ibu, namun naskhah baharu ini menyaksikan watak tersebut muncul kembali selepas peristiwa tsunami, sekali gus membawa pelukisan cerita yang unggul dan sarat dengan nilai keinsafan menerusi gabungan elemen dialog, nyanyian, irama dan tarian.
Beliau menambah bahawa YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan sebagai pemikir bangsa yang tersohor menerusi kelangsungan daya kreatinya dalam mencanai sastera demi pembangunan intelektual bangsa.

“Impak pengolahan skrip yang mendalam turut diimbas melalui karya agung seperti Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, yang berjaya melahirkan rasa kekaguman pembaca terhadap nasib tradisi yang terpingir dalam arus kemajuan,” tambahnya.

Yang turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut termasuklah Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Encik Ja’afar Hamdan serta Ketua-ketua Bahagian DBP.