Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Low Hiang Loon
Shah Alam – Seramai 150 pelajar bahasa Mandarin Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Puncak Perdana berkumpul untuk mengikuti ceramah pengajaran kolaboratif; “A Cultural Journey to China: the Beauty of Four Seasons” (Satu Perjalanan Budaya ke Negara China: Keindahan Empat Musim) melalui platform dalam talian Google Meet yang disampaikan oleh Profesor Dr. Hermina Sutami dari Universitas Indonesia, semalam.

Profesor Madya Dr. Low Hiang Loon, selaku pengerusi kepada penganjuran ceramah pengajaran kolaboratif tersebut, menyatakan bahawa ceramah itu bukan sahaja membuka mata para pelajar bahasa Mandarin kepada kekayaan budaya dan keindahan bermusimdi China, malah mampu memupuk kerjasama pengajaran rentas sempadan yang berharga antara dua buah institusi ternama.
Terdahulu, ceramah yang diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pemahaman pelajar bahasa Mandarin berkenaan budaya Cina serta mengetahui tempat-tempat menarik mengikut empat musim di China.

Antara tempat menarik diperkenalkan oleh Profesor Dr. Hermina Sutami ialah destinasi ikonik yang terikat dengan setiap musim.
Sebagai contoh, musim bunga di Tasik Barat (West Lake), Hangzhou dan Shanghai’s Bund, manakala musim panas di Kota Larangan Beijing (Forbidden City Beijing) dan Pahlawan Terracotta (Terracotta Army) di Xi’an.
Pada musim luruh pula di Tembok Besar (Great Wall) dan pekan purba (ancient town) Yunnan; dan musim sejuk di Harbin untuk Perayaan salji (Ice Festival) serta jalan-jalan mencari makanan Kantonis yang terkenal di Guangzhou.
Profesor Dr. Hermina Sutami turut menceritakan tentang ungkapan Mandarin yang terkenal seperti “Zhèlǐ de fēngjǐng měi rú huà” (Pemandangan di sini seindah lukisan) dan “Bú dào Chángchéng fēi hǎo Hàn” (Dia yang belum melawat Tembok Besar bukanlah lelaki sejati).
Setiap ungkapan mengisahkan bagaimana landskap, sejarah dan bahasa saling berkait. Ceramah itu juga menyuntikkan semangat yang tinggi kepada para peserta untuk terus belajar Mandarin.
Pelajar yang menghadiri ceramah itu bermotivasi untuk meneruskan perjalanan bahasa Mandarin mereka dengan penghargaan yang lebih mendalam terhadap budaya dan pemandangan indah yang pelbagai di Negara China.