Diterbitkan pada 14 Oktober 2024, 13:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Noor Idlah Abdul Halim, pengarah dan penulis skrip Randai Kobau Den Lopeh (KDL) berjaya mengangkat tema adat dan budaya Negeri Sembilan dengan mengetengahkan adat perpatih sebagai elemen utama dalam pementasan randai yang telah dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 4 dan 5 Oktober 2024 yang lalu.

Randai ini mengisahkan konflik dua beradik yang baru kehilangan ibunya tetapi sudah mula berebut dan saling mempertikaikan hak ke atas rumah pusaka yang ditinggalkan. Kebijaksanaan Noor Idlah terserlah apabila beliau berjaya menjadikan konflik tersebut sebagai idea pementasan dengan menggarap sebuah karya yang bukan sahaja menjelaskan perihal adat perpatih secara lakonan, tetapi turut menyelitkan keindahan dan keunikan budaya Negeri Sembilan yang masih diamalkan oleh generasi kini.

Aksi pelakon dalam Randai Kobau Den Lopeh.

Gabungan unsur muzikal, elemen tarian, jenaka dan lakonan menjadikan randai KDL berjaya menarik perhatian para penonton yang hadir menyaksikan randai tersebut dengan penuh keterujaan.

Kehebatan para pelakon yang menjiwai watak dengan penuh penghayatan pula telah meningkatkan lagi kefahaman para penonton terhadap konflik yang berlaku dan tema yang cuba disampaikan. Setiap gerak lakonan bergerak di atas pola bulatan dengan diiringi gerak seni bela diri, tarian rakyat dan juga nyanyian. Lebih menarik lagi adalah apabila skrip yang diungkapkan menggunakan loghat Negeri Sembilan.

Aksi tarian yang dipersembahkan dalam Randai Kobau Den Lopeh.

Pementasan randai tersebut telah dipersembahkan oleh ahli Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan (KASETN9) yang dibintangi oleh Dila Abdul Halim, Fazreen Mohd, Syaidatul Amanina, Paan Ridzuan, Saiful Wazien, Shahril Sani, Zamir Rashidi dan Farhana Aishah dengan kerjasama DBP, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Panggung Seni Tradisional 2024, Cemara Seni  Performing Arts and Culture Negeri Sembilan (CSPAC) serta Squid Entertaiment.

Sementara itu, pengurusan teknikal dikawal selia oleh Shahrul Skye, Yazid (JKKN) dan dibantu oleh pemuzik Bo’Jangs, Dina Zakri, Hafizy Fauzi dan Ashraf Azmam.

Randai ialah persembahan teater tradisi dengan gaya bercerita melalui tarian dan lakonan. Persembahan ini dipaparkan melalui gaya bahasa berirama seperti yang dipanggil sebagai berkaba dalam teromba, berdendang dan berlagu.

Para pelakon yang menjayakan pementasan Randai Kobau Den Lopeh.

Randai merupakan kreativiti yang menjadi tradisi kelompok Minang di Malaysia dan Indonesia yang mengamalkan adat perpatih. Di Malaysia, randai terdapat di Negeri Sembilan dan Selangor. Persembahannya mirip gaya bahasa Minang loghat daerah di Negeri Sembilan.

Kredit Foto: JKKN
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi