Diterbitkan pada 17 Oktober 2024, 11:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penyertaan Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA 2024) mencatatkan peningkatan sebanyak 17 peratus tahun ini berbanding dengan dua tahun lalu. Demikian menurut Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil.

“Sebanyak 1,860 pencalonan ASA 2024 telah diterima dan menepati syarat-syarat layak dipertandingkan berbanding dengan 1,354 yang layak dipertandingkan tahun lalu. Daripada jumlah tersebut, 1,287 pencalonan merupakan kategori televisyen, 515 kategori radio dan 58 kategori media baharu termasuklah satu kategori baharu, iaitu Podcast Terbaik.”

“Ini membuktikan keyakinan dan dambaan penggiat seni kreatif negara kepada pengiktirafan ASA,” kata beliau dalam ucapan pelancaran Majlis Kira Detik ASA 2024 malam semalam.

Pemenang bagi setiap 60 kategori yang merangkumi 40 kategori televisyen, 16 kategori radio dan empat kategori media baharu dipertandingkan di ASA 2024 bakal menerima wang tunai berjumlah RM5000 beserta trofi. Bagi pemenang kategori Drama TV Terbaik dan Dokumentari TV Terbaik pula akan menerima hadiah tambahan berupa insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai hingga RM200,000.

Bagi penerima dua anugerah khas yang tidak dipertandingkan, iaitu Anugerah Tokoh Seri Angkasa bakal menerima wang tunai berjumlah RM10,000 dan sebuah trofi manakala penerima Anugerah Khas Juri akan menerima wang tunai berjumlah RM8000 dan sebuah trofi.

ASA 2024 merupakan satu daripada inisiatif kerajaan melalui Kementerian Komunikasi untuk memartabatkan penggiat industri kreatif penyiaran tanah air.

“Anugerah ini merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap dedikasi, sumbangan dan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan oleh para penggiat industri kreatif penyiaran, termasuklah pekerja di belakang tabir seperti kru penerbitan, pereka, juruhebah, penyampai serta kru teknikal.”

Menurut YB Fahmi, penggiat seni bukan sahaja berperanan dalam memajukan negara daripada segi industri kreatif dan hiburan, tetapi mereka juga merupakan individu penting yang memperkenalkan, mempromosi serta memelihara tradisi dan budaya negara.

Beliau menambah, setiap karya seni yang dihasilkan sama ada dalam bentuk lakonan, muzik, tarian, pengacaraan, dan lain-lain menggambarkan dan mewakili kisah jiwa bangsa Malaysia. Penggiat seni tanah air yang bertanggungjawab sentiasa menyelitkan elemen budaya, warisan, nilai murni serta keharmonian hidup rakyat Malaysia dalam karya mereka.

“Kita perlu menghentikan stigma bahawa karya penggiat seni tanah air hanya diminati oleh rakyat Malaysia. Dengan kemajuan teknologi industri seni dunia, kerajaan sentiasa berusaha membantu karyawan menghasilkan karya seni yang dapat menarik perhatian dan membuka mata masyarakat antarabangsa,” ujar beliau.

Ujare beliau lagi, “Kerajaan, melalui Kementerian Komunikasi, sentiasa berusaha mempersiapkan pemain industri agar bersedia dan berdaya saing, seterusnya mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi pada peringkat antarabangsa.”

Penganjuran ASA edisi ke-36 dimeriahkan lagi dengan penyertaan lima penaja utama, iaitu Habib Jewels, DRB HICOM, Telekom Malaysia Berhad (TM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Roadcare (M) Sdn. Bhd.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Sebagai rekod, penganjuran anugerah berprestij yang diadakan setiap dua tahun, telah memasuki edisi ke-36 tahun ini sejak mula diperkenalkan pada tahun 1972.

Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa bakal diadakan pada 26 Oktober 2024 (Sabtu), pukul 9.00 malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya yang turut boleh ditonton secara langsung menerusi saluran TV2, RTM serta YouTube dan Facebook langsung Kementerian Komunikasi.

Kredit Foto: Media Kementerian Komunikasi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi