Diterbitkan pada 20 November 2024, 10:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Masa hadapan penggiat seni kreatif akan terbela selepas ini apabila satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil hadir menyaksikan acara menandatangani MoU tersebut yang bertujuan untuk melindungi serta memperkukuh kebajikan penggiat industri kreatif negara, semalam.

YB Fahmi Fadzil dalam ucapannya berkata, MoU ini merupakan kerjasama strategik antara FINAS dengan KWSP dalam memperluas Skim KWSP kepada para penggiat industri kreatif yang merangkumi isu-isu kebajikan pekerja seperti perlindungan insurans, standard kontrak kerja yang lebih baik serta promosi berterusan skim caruman KWSP.

Penggiat seni turut menyaksikan  acara menandatangani MoU antara FINAS dengan KWSP di Menara KWSP, Kwasa Damansara.

“Niatnya adalah untuk memastikan para pekerja dalam industri kreatif khususnya dalam perfileman, bakal mendapat manfaat dalam program KWSP yang akan membantu dari segi keselamatan sosial terutamanya bagi hari tua mereka. Mereka juga akan menggerakkan jentera di bawah FINAS untuk meningkatkan pemahaman di bawah penerbit masig-masing. Selain itu, mereka akan mencarum wang dan usaha ini menjadi asas yang baik kepada para pekerja,”ujarnya.

MoU ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan penggiat industri kreatif terjamin, sekali gus sebagai langkah komprehensif dalam memperkukuh kebajikan dan menguruskan pelan simpanan wajib serta perancangan persaraan untuk penggiat seni dan industri kreatif.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Pengerusi KWSP, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali dan Pengerusi FINAS, Dato’ Kamil Othman.

Kredit Foto: Kementerian Komunikasi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi