Diterbitkan pada 6 Januari 2025, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Pementasan teater Seorang Tua di Kaki Gunung karya novelis, Azizi Haji Abdullah telah membuka kalendar panggung pementasan teater di utara, baru-baru ini.

Pementasan yang menampilkan dua pelakon jemputan istimewa, iaitu Dato’ Jalaluddin Hassan yang berlakon sebagai Tukya dan Dr. Norzizi Zulkifli sebagai Besah telah diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN), Alor Setar, Kedah.

Pementasan ini dijayakan melalui gabungan muka baharu dan lama dalam industri seni budaya, yakni seramai Seramai 22 orang pelakon teater ambil bahagian di bawah arahan Zaifri Husin.

Menurutnya, sebagai langkah memartabatkan seni budaya tempatan, pementasan itu diharap dapat merapatkan jurang generasi dalam menghayati nilai seni dan budaya Malaysia.

Kelihatan, Tukya dan Besah berada dalam rumah dengan dikunjungi oleh anaknya, menantu dan cucunya dalam teater tersebut.

“Kami percaya usaha itu bukan sahaja akan menyemarakkan industri teater tempatan, tetapi juga memupuk kecintaan terhadap warisan seni dan budaya.”

Sebelum ini, Zaifri pernah mengarahkan beberapa pementasan teater antaranya, Mana Setangginya” dan “Gamat.

Beliau juga pernah mengarahkan teater kanak-kanak seperti Bawang Putih Bawang Merah, Taman Baginda, Belalang Kenit, dan Ali Baba.

Pementasan teater Ali Baba telah menjulang nama beliau kerana berjaya menggondol anugerah Persembahan Terbaik Muzikal Kanak-Kanak 2008 di India.

Novel Seorang Tua di Kaki Gunung pernah dijadikan teks sastera untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1982 dan telah memenangi tempat kedua dalam Sayembara Hadiah Novel GAPENA-Yayasan Sabah II pada tahun 1981.

Kisahnya yang menyentuh nilai kemanusiaan, cabaran hidup serta hubungan manusia dengan alam semula jadi, menjadikannya sangat sesuai untuk diangkat ke pentas teater.

Pengarah JKKN Kedah, Sabarina Masadi (duduk ditangga) diapit Datuk Jalaluddin Hassan, Dr. Norzizi Zulkifli bersama artis budaya JKKN Kedah sebelum pementasan teater di Auditorium JKKN Kedah Di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Pementasan ini bertujuan menghubungkan generasi baharu dengan karya klasik yang kaya dengan nilai seni dan budaya tempatan.

Pementasan ini merupakan usaha kolaborasi antara JKKN Kedah bersama penggiat seni dan NGO budaya untuk menyemarakkan teater dan memperkasa industri seni persembahan di Malaysia.

Teater ini menjadi platform untuk memperkenalkan semula karya sastera agung dalam bentuk yang lebih dinamik dan visual.

Turut hadir menyaksi persembahan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Dato’ Mohd Salleh Saidin,

Ketua Pengarah JKKN, Encik Mohd Amran Mohd Haris, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Kebudayaan dan Kesenian) JKKN ibu pejabat, Encik Rosnan Nordin dan Pengarah JKKN Kedah, Sabarina Masadi.

Dato Salleh Saidin (baju kotak, tengah) bergambar dengan jawatankuasa penganjur, pelakun teater di Auditorium JKKN Kedah baru-baru ini.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi