Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 12 Januari 2025, 15:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

Perlis- Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail berkenan berangkat menyempurnakan simbolik perasmian dan lawatan ke Pameran Manifestasi 2 Seni yang memaparkan karya-karya lukisan oleh 30 pelukis dari negeri Perlis.

Pameran ini bertujuan untuk memartabatkan karya agung dengan satu penghayatan terhadap karya seni visual dengan gabungan teks sastera dan seni kreatif lainnya dalam usaha menghayati karya seni visual hasil pemahaman pelukis terhadap karya sastera tempatan.

Dalam majlis perasmian, baginda menyarankan  agar sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, elemen karya seni; sastera dan seni visual tidak hanya dipamerkan di dalam galeri, malah boleh dipamerkan dalam bentuk iklan gergasi atau monumen seni di tempat strategik dan di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong di negeri Perlis.

Ketibaan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail disambut hormat oleh Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Encik Amerrudin Ahmad dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis bagi Pelancongan, Seni dan Budaya, Encik Abu Bakar Hamzah.

Baginda bertitah,

“Majlis ini bersesuian pula dengan negeri ini yang akan merayakan sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 17 April kelak. Karya-seni yang indah ini akan memberikan lebih makna dan dapat menyerikan lagi suasana di negeri Perlis pada tahun ini dan tahun yang mendatang”.

“Pelancong bukan sahaja dapat menikmati panorama Perlis yang indah tetapi juga dapat menikmati hasil seni kreatif yang dibawa secara dekat kepada mereka. Secara tidak langsung golongsn seni dapat memupuk nilai apresiasi terhadap keunikan karya seni dan seterusnya dapat mendidik khalayak untuk mencintai akan keindahannya,” titah Baginda dalam majlis perasmian pameran Manifestasi 2 Seni.

Dalam masa yang sama, Baginda menzahirkan rasa penuh yakin Manifestasi 2 Seni ini dilihat sebagai sebuah wadah yang mampu mengangkat karya sastera agung dan karya seni visual ke tahap yang lebih tinggi dan berharap agar pendekatan ini bukan sahaja meraikan bakat tempatan seperti penulis, penyair dan pelukis malah turut berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan generasi serta pelbagai latar belakang budaya, demi memperkukuh warisan seni budaya negara.

Keberangkatan baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Encik Amerrudin Ahmad dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis bagi Pelancongan, Seni dan Budaya, Encik Abu Bakar Hamzah; serta Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi