Diterbitkan pada 6 Januari 2025, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

oleh: Noraidah Ezwani

Sintok – Teater Nadrah yang dipentaskan di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta fenomena apabila lebih 1000 orang penonton hadir pada malam pementasannya, Jumaat lalu.

Kisah Nadrah yang mengangkat tema konflik identiti dan kepercayaan pada era penjajahan, berjaya memukau penonton melalui naratif yang penuh emosi dan lakonan yang memikat.

Kehebatan para pelakon dalam menghidupkan watak-watak menjadikan pementasan ini meninggalkan pengalaman menonton karya seni yang sukar dilupakan.

Pengarah teater, Hanafi Zulkepli, meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa tersebut.

“Kejayaan ini adalah bukti bahawa teater masih menjadi medium yang relevan dalam menyampaikan mesej sosial, juga mengiktiraf usaha pelajar yang berjaya menggabungkan elemen seni dan nilai kemanusiaan untuk mencipta satu persembahan yang bermakna,” katanya.

Pementasan ini turut diserikan dengan elemen artistik seperti pencahayaan dramatik, muzik latar yang indah, dan set pentas yang menggugah emosi.

Penonton memuji keindahan produksi yang bukan sahaja memartabatkan nilai budaya Melayu, tetapi juga menyuntik elemen moden yang menyegarkan.

Teater Nadrah bukan sekadar hiburan, tetapi satu wahana pendidikan seni yang memperkukuh apresiasi terhadap karya tempatan.

Sambutan luar biasa ini sekali lagi membuktikan bahawa seni persembahan mampu mengetuk pintu hati khalayak dalam membina jalinan antara seni, budaya, dan masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi