Diterbitkan pada 3 Januari 2025, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Penggiat sastera dan teater, AK Hidayat, muncul dengan karya teater pendek terbaharunya berjudul Durhaka.

Durhaka dipersembahkan sempena program “Santai Puisi, Rintik Hujan, Rimbun Fikir” yang dianjurkan secara bersama oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Utama OCD, UIAM Kuantan pada 3 Januari 2025 yang lalu.

Teater pendek yang berdurasi hampir 30 minit tersebut menampilkan para pelakon daripada Kelab Teater Rajuk Pahang, iaitu Liza Hasyikin, Along Hafeez, Syaa Hida, Bob Santan dan Nazri.

Dengan hanya empat orang pelakon, Durhaka berjaya meruntun jiwa para penonton yang hadir menyaksikan teater pendek tersebut.

Durhaka membawakan tema konflik kekeluargaan dengan watak seorang ibu tua dan tiga orang anaknya yang sudah dewasa serta sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Konflik terjadi apabila kesemua anaknya membuat keputusan untuk menghantar ibu tua mereka ke rumah jagaan orang-orang tua.

Rintihan dan tangisan seorang ibu tua kerana tidak mahu dihantar ke rumah jagaan orang-orang tua mencetus kehibaan dalam jiwa para penonton.

Layanan anak-anak terhadap ibu tua mereka secara kasar dan ungkapan-ungkapan yang tipis nilai kehormatan terhadap ibu tua mereka juga menerbitkan rasa kasihan terhadap watak wanita tua tersebut.

Setelah terluka dengan hinaan dan cercaan daripada anak-anak sendiri, wanita tua tersebut akhirnya melarikan diri.

Namun, takdir telah menentukan hayat wanita tua tersebut berakhir dalam sebuah kemalangan yang menyedihkan. Ratapan anak-anaknya yang menyesali perbuatan mereka menjadi pengakhiran kepada teater pendek Durhaka.

Penguasaan ruang pentas yang baik, lakonan yang penuh penghayatan dan lontaran intonasi suara yang jelas membuatkan mesej yang cuba disampaikan berjaya meresap ke dalam jiwa para penonton.

Selain itu, alunan muzik latar yang syahdu semasa sajak yang menjadi suara latar dibacakan oleh AK Hidayat menambahkan lagi kepiluan penamat teater pendek Durhaka.

Bait-bait kata yang terkandung dalam sajak tersebut membuatkan para penonton berasa insaf dan terkesan dengan teater pendek tersebut.

Biarpun babak yang dipersembahkan tampak klise dalam kehidupan masyarakat kini, namun pengajaran dan pedoman yang cuba disampaikan amat jelas sekali.

Walaupun kesibukan dengan kerjaya, ibu dan bapa wajib dihormati dan diberikan bakti sehingga akhir hayat mereka. Kasih dan sayang ibu dan bapa itu tiada tolok bandingnya dan merekalah syurga buat anak-anaknya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi