Diterbitkan pada 6 Januari 2025, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri (MKN) Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, menyokong usaha memartabatkan seni budaya khususnya di negeri Pahang.

“Saya berasa gembira dan seronok apabila melihat anak-anak muda masih berminat dengan puisi dan kebudayaan. Ringkasnya, budaya ialah cara hidup yang mesti dimartabatkan terutamanya dalam kalangan anak muda kini,” ujar beliau.

Menurut Dato’ Sri Hajah Shahaniza, beliau yakin persiapan untuk melaksanakan program telah dibuat dengan baik dan MKN Pahang meluluskan permohonan program berkenaan sebagai tanda sokongan kepada aktiviti-aktiviti sebegini.

“Program seumpama ini jangan terhenti di universiti sahaja, tetapi apabila kita kembali ke masyarakat di luar sana, kita perlu berdedikasi dan menjadi ejen ataupun pemangkin seni budaya yang kita pelajari di universiti.”

Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan pembukaan dalam program Santai Puisi: Rintik Hujan, Rimbun Fikir di Dewan Utama OCD, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan pada 3 Januari 2025 yang lalu.

Tambah beliau lagi, “Kitalah sebagai pewaris budaya kita. Kalau bukan kita anak-anak muda, siapa lagi nak menjaga warisan budaya ini.”

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) khususnya kerana berjaya bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menjayakan program berkenaan.

Hampir 1000 penonton hadir ke program yang menghimpunkan pelbagai persembahan menarik seperti sketsa, teater, puisi lagu, syair, akustik, silat cekak, gendang Pahang dan pelbagai lagi.

Turut hadir menyaksikan persembahan pada malam tersebut ialah Yang Berusaha Puan Nurul Julia Alani Henry, Pengarah DBP Wilayah Tengah; Yang Berusaha Prof. Emeritus Dato’ Mansor Abdullah, Presiden DPMP; Prof. Madya Dr. Arifin Kadri, Penasihat Kelab Fuscia UIAM Kuantan; Puan Nurul Azah Jalil, penyelaras Sayap Remaja DPMP UnIPSAS dan tetamu-tetamu jemputan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi