Diterbitkan pada 22 Januari 2025, 16:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kaki Bukit – Negeri Perlis dipilih sebagai lokasi penggambaran filem berkonsepkan pelancongan, iaitu Mojoku Hilang yang bakal diterbitkan oleh Double Vision Sdn. Bhd. (DVSB) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh YTSP Perlis.

Suatu majlis penghargaan untuk rakan strategik yang menyumbang kepada tabung yayasan ini telah dilaksanakan baru-baru ini bersama-sama barisan pelakon serta krew Mojoku Hilang, dan telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Pengerusi YTSP Perlis di Tasoh Lake Resort, Kaki Bukit.

Antara rakan strategik yang terlibat dalam inisiatif bersama YTSP Perlis termasuklah EUPE Bhd., SHJ Auto Sdn. Bhd., UEM Group Berhad, CIMA Bhd., Mutiara Perlis Sdn. Bhd., FFM Berhad dan beberapa syarikat lain dengan sumbangan yang kini hampir mencecah RM1 juta.

Keberangkatan tiba baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dan disambut oleh Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, YBhg. Datuk Johari Mohd Darus; Pengarah dan Penerbit filem berkenaan, Min Lim dan Penyelaras Kerjasama DVSB/YTSP, Syed Hazrain Jamalullail.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meninjau ke lokasi penggambaran filem Mojoku Hilang.

Datuk Johari Mohd Darus berkata, YTSP Perlis tertarik untuk bekerjasama dalam inisiatif pembikinan filem ini bagi tujuan menambah baik dan mengangkat potensi pelancongan, pertumbuhan sosioekonomi dan yang paling utama pendidikan anak-anak di negeri Perlis.

Menurut Min Lim, Mojoku Hilang merupakan sebuah filem romantik-komedi yang bertemakan komuniti, kepercayaan pada kehidupan yang tidak materialistik serta pengorbanan untuk orang tersayang.

Filem tersebut mengetengahkan perpaduan masyarakat, budaya tolong-menolong dan pencarian identiti anak muda pada zaman ini.

Filem ini diyakini akan dapat mempamerkan keunikan serta keindahan negeri Perlis, sekali gus menyokong kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Antara pelakon yang membintangi filem ini termasuklah pelakon Indonesia yang diminati ramai, Adipati Dolken bersama-sama barisan pelakon terkenal tanah air seperti Mimi Lana, Wan Hanafi Su, Namron, Datuk Ahmad Tamimi dan Gambit Saifullah.

DVSB merupakan sebuah syarikat produksi tempatan yang aktif dan berpengalaman dalam penerbitan komersil televisyen, televisyen realiti, filem dan drama bersiri serta penyiaran di negara ini.

Selepas majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan merakamkan foto kenangan, beramah mesra bersama-sama barisan pelakon utama dan pelakon tambahan yang hadir serta krew produksi, dan seterusnya meninjau ke lokasi penggambaran filem tersebut.

Kredit Foto: YTSP Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi