Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Hubungan Malaysia-China bukan sekadar berfokuskan pada perdagangan dan pelaburan semata-mata, malah jalinan persahabatan di antara kedua-dua dua negara tersebut melangkaui kepada nilai kepercayaan dan saling menghormati terhadap perbezaan budaya.
Demikian menurut Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada malam semalam.
Semasa pertemuan saya dengan Presiden China, Xi Jinping (baru-baru ini), kami bukan sahaja membincangkan isu ekonomi, hubungan perdagangan dan pelaburan, tetapi keperluan untuk memastikan persahabatan yang dibina ini berteraskan kepada kepercayaan.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa dasar unik negara China bukan sahaja memastikan pengukuhan fundamental ekonomi, keamanan dan kestabilan negara, tetapi mempunyai visi menghormati budaya dan perbezaan, sekali gus mengangkat makna sebenar ketamadunan serta keperluan dialog peradaban.

Pada masa yang sama, dalam usaha memperkukuh hubungan dengan negara China, beliau mengingatkan bahawa agar persahabatan ini diraikan menerusi kepelbagaian budaya yang wujud negara kita.
Hal ini demikian kerana kita mahu memastikan Malaysia kekal aman, menghayati prinsip serta dasar inklusiviti supaya setiap rakyat Malaysia mempunyai kedudukan dan berbangga dengan negara ini.
Di samping itu, beliau menyatakan bahawa rakyat Malaysia sememangnya menerima dan menghargai perayaan tersebut sebagai sebahagian daripada budaya Malaysia.
Kita akan terus menyaksikan persembahan kebudayaan dalam suasana yang menggalakkan kegembiraan, santai dan saling menghargai antara satu sama lain, termasuk budaya lain yang kadangkala tidak dikenali atau asing bagi kita.
Menurut beliau, fenomena ini bukan sahaja bermakna dari segi kelangsungan hubungan masyarakat Malaysia yang telah lama terjalin, tetapi juga menunjukkan bahawa negara ini bersedia menyambut pelancong dari luar negara yang berbeza budaya.
Beliau turut menzahirkan harapan bahawa sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini disambut oleh semua rakyat Malaysia dengan baik walaupun dipelopori oleh masyarakat Cina.

Sementara itu, Malaysia mencatatkan sejarah tersendiri apabila telah dipilih oleh China sebagai tuan rumah yang pertama di luar negara berkenaan bagi sambutan Tahun Baharu Cina atau lebih dikenali sebagai Festival Musim Bunga pada tahun ini.
Malah, majlis tersebut dimeriahkan pertunjukan cahaya dron yang memaparkan sejarah persahabatan Malaysia dan China, upacara menggaul Yee Sang dan persembahan tarian kebudayaan daripada pelbagai kaum di Malaysia.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Tiong King Sing; Yang di-Pertua Dewan Rakyat; YB Tan Sri Dato’ Johari Abdul; Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama (TYT) Sun Yeli; Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing.