Diterbitkan pada 8 Februari 2025, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Adat Perpatih, yang menjadi asas sistem sosial masyarakat Negeri Sembilan, berdepan cabaran besar dalam memastikan kelangsungannya di era moden. Hal ini ditekankan oleh Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, dalam ucaptama bertajuk Kelangsungan Adat Perpatih di dalam Sidang Forum Industri 4.0 bersempena dengan Wacana Setengah Abad Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) di Klana Resort, pagi tadi.

Dalam ucapan pembukaan, beliau menjelaskan bahawa cabaran utama yang dihadapi oleh Adat Perpatih boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu cabaran dalaman yang berpunca daripada perubahan dalam masyarakat adat itu sendiri dan cabaran luaran yang melibatkan faktor luar seperti perubahan dasar kerajaan, globalisasi serta kurangnya kesedaran masyarakat tentang kepentingan adat ini.

Satu daripada cabaran utama yang dihadapi oleh Adat Perpatih ialah perubahan pemahaman generasi muda terhadap adat ini. Dalam dunia yang semakin moden dan dipengaruhi oleh globalisasi, ramai dalam kalangan generasi muda semakin kurang memahami dan menghargai nilai-nilai yang terkandung dalam Adat Perpatih. Golongan muda lebih cenderung kepada gaya hidup moden yang berasaskan nilai-nilai universal dan kurang memberikan perhatian kepada sistem adat yang diwarisi turun-temurun. Hal ini mengakibatkan kepentingan serta pengamalan adat semakin terpinggir dalam kehidupan seharian mereka.

Selain itu, perubahan dalam struktur keluarga juga menjadi satu cabaran yang besar. Adat Perpatih berasaskan sistem matrilineal, di mana harta pusaka diwarisi melalui keturunan ibu. Namun begitu, perubahan sosial yang lebih mengutamakan sistem patrilineal telah menyebabkan berlakunya pergeseran antara sistem adat dengan perundangan moden. Perubahan ini mengakibatkan semakin banyak keluarga yang tidak lagi mematuhi sistem pewarisan harta menurut adat, seterusnya melemahkan kelangsungan Adat Perpatih dalam masyarakat Negeri Sembilan.

Menurut YBrs. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri, satu lagi cabaran yang turut memberikan kesan besar ialah kekurangan pemimpin adat yang berkelayakan. 

“Pemimpin adat memainkan peranan penting dalam mengekalkan dan menegakkan sistem ini. Namun begitu, semakin sukar untuk mencari individu yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang adat serta keupayaan untuk menguruskan sistem ini secara berkesan dalam konteks masyarakat moden. Tanpa kepimpinan yang berkualiti, terdapat risiko bahawa interpretasi adat akan menjadi semakin kabur dan akhirnya menjejaskan keberkesanannya sebagai sistem sosial yang berfungsi,” ujar beliau.

Di samping itu, pertindihan antara Adat Perpatih dengan undang-undang negara turut menjadi satu cabaran yang ketara. Adat Perpatih berfungsi sebagai satu sistem perundangan tidak rasmi di Negeri Sembilan, namun dalam banyak situasi, Adat Perpatih bertembung dengan sistem perundangan negara yang lebih moden. Hal ini sering menimbulkan kekeliruan mengenai status dan peranan adat ini dalam masyarakat, malah dalam beberapa keadaan, Adat Perpatih mula terpinggir.

Perubahan dalam pengurusan tanah dan harta juga menjadi isu yang membimbangkan. Adat Perpatih menekankan kepentingan pewarisan harta melalui keturunan ibu bagi memastikan kesejahteraan masyarakat adat. Namun begitu, sistem perundangan negara yang lebih menekankan hak milik individu telah mengakibatkan banyak tanah adat diambil alih oleh pihak luar, termasuklah syarikat perniagaan dan ahli politik. “Jika keadaan ini berterusan, masa depan Adat Perpatih akan menjadi semakin tidak menentu,” tambah beliau.

Selain cabaran dalaman, Adat Perpatih turut berdepan tekanan dari luar. 

YBrs. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri berkata satu daripada cabaran utama ialah perubahan undang-undang dan polisi kerajaan yang sering memberikan keutamaan kepada integrasi sosial dan keseragaman. 

“Dalam isu hak milik tanah, sebagai contoh, sistem perundangan negara lebih mengiktiraf hak milik individu berbanding dengan sistem pewarisan kolektif yang diamalkan dalam Adat Perpatih. Hal ini menyebabkan banyak tanah adat berdepan risiko dipecah-pecahkan dan akhirnya hilang identitinya sebagai tanah adat,” ujar beliau.

Selain itu, isu pendidikan dan kesedaran juga menjadi satu faktor utama yang menyumbang kepada kelemahan sistem ini. Adat dan budaya tempatan semakin kurang ditekankan dalam sistem pendidikan negara, menyebabkan generasi muda kurang memahami kepentingannya. Tanpa pendidikan yang kukuh mengenai adat, kesedaran masyarakat terhadap nilai sejarah dan sosial yang terkandung dalam Adat Perpatih akan semakin berkurangan.

YBrs. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri berkata, masyarakat Malaysia yang majmuk turut memberikan cabaran yang tersendiri dalam mengekalkan Adat Perpatih. 

“Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik, tidak semua masyarakat memahami atau menerima sistem adat ini. Walaupun Adat Perpatih merupakan warisan masyarakat Melayu Negeri Sembilan, tetapi kesedaran dan penerimaannya dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri juga semakin berkurangan, apatah lagi dalam kalangan kaum lain. Hal ini menjadikan usaha untuk mengekalkan dan memperkenalkan adat ini kepada masyarakat yang lebih luas menjadi semakin mencabar.”

Bagi memastikan kelangsungan Adat Perpatih dalam era moden, YBrs. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil. 

Satu daripada usaha yang dicadangkan ialah membangunkan portal digital khas yang menyediakan maklumat lengkap mengenai Adat Perpatih. Portal ini akan menjadi rujukan utama bagi generasi muda serta masyarakat umum dalam memahami sistem ini dengan lebih mendalam. Selain itu, usaha untuk memperkenalkan pendidikan berkaitan dengan Adat Perpatih di institusi akademik juga perlu dipergiatkan. Dengan adanya pendidikan formal mengenai adat ini, generasi muda dapat didedahkan kepada kepentingannya sejak di bangku sekolah.

Usaha mengumpul dana bagi menganjurkan upacara adat juga merupakan satu langkah penting dalam memastikan amalan ini terus berkembang. Upacara adat bukan sahaja berfungsi sebagai sebahagian daripada warisan budaya, tetapi juga sebagai satu bentuk pendidikan kepada masyarakat untuk memahami dan menghargai adat ini.

Menurut YBrs. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri, kelangsungan Adat Perpatih bukan hanya bergantung pada masyarakat adat semata-mata, tetapi juga memerlukan sokongan daripada pihak berkuasa serta masyarakat umum. Tanpa usaha bersepadu, adat ini berisiko terpinggir dan akhirnya hilang dalam arus perubahan zaman.

Sebagai rekod, wacana ini merupakan sebahagian daripada program sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) Kali Ke-48/2025, yang turut membincangkan pelbagai isu berkaitan dengan budaya, warisan serta cabaran dalam industri penulisan, khususnya dalam pembangunan intelektual dan sastera tempatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi