Diterbitkan pada 13 Februari 2025, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Kira-kira 1000 orang masyarakat Cina di Negeri Perlis menyambut perayaan Cap Goh Mei 2025 dengan penuh meriah dan berwarna-warni di hadapan Pasar raya Ten Ten, semalam.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran sambutan tahunan tersebut.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Chap Goh Mei 2025. Turut kelihatan, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, anakanda Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Setiausaha Politik, Chan Ming Kai.

Dalam majlis tersebut, anakanda kedua Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yakni Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail turut menyertai majlis tersebut.

Ketibaan baginda telah disambut mesra oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, YB Gan Ay Ling, serta Ketua Polis Perlis, DCP Datuk Muhammad Abdul Halim.

YB Gan Ay Ling berucap menyatakan bahawa perayaan Cap Goh Mei bukan sahaja perayaan bagi satu kaum, tetapi juga menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan serta memperkukuhkan semangat perpaduan seluruh warga Perlis.

“Cap Goh Mei, yang menandakan malam ke-15 serta penutupan sambutan Tahun Baru Cina, merupakan detik yang amat istimewa bagi masyarakat Tionghua”

“Bukan hanya simbol kegembiraan dan kemakmuran, tetapi juga lambang keharmonian dan perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi tunjang kekuatan negeri dan negara kita,” tambah beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Malaysia, Chan Ming Kai.

Beliau turut menambah bahawa rakyat Negeri Perlis sentiasa hidup dalam keadaan saling memahami dan menghormati antara satu sama lain, meskipun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bergambar bersama-sama pengunjung dan tetamu yang hadir.

Beliau juga menegaskan pentingnya pendekatan yang harmoni dengan mengamalkan nilai-nilai positif, meskipun berasal dari budaya yang berbeza, merayakan dan mempelajari bahasa serta tradisi yang pelbagai, selain sentiasa berusaha memahami perbezaan agama yang ada.

Sambutan ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk persembahan bunga api, nyanyian, serta pertunjukan Chen Shi Taichi Negeri Perlis yang turut sama secara spontan disertai oleh Baginda berdua, selain beberapa persembahan kebudayaan lain yang menggembirakan suasana malam penuh bersejarah tersebut.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beraksi dalam petunjukkan Chen Shi Taichi Negeri Perlis.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi